Transaksi pasaran hartanah cecah RM57 bilion - Utusan Malaysia

Transaksi pasaran hartanah cecah RM57 bilion

PASARAN hartanah mencatat nilai transaksi RM57 bilion pada suku ketiga 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran hartanah Malaysia menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan lebih 110,000 transaksi bernilai RM57 bilion, pada suku ketiga 2024.

Ia menunjukkan peningkatan marginal bilangan sebanyak 3.1 peratus dan 0.3 peratus dalam nilai transaksi, berbanding 108,933 transaksi bernilai RM57.14 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr. Abdul Razak Yusak berkata, peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan positif bilangan transaksi hartanah di semua subsektor dan prestasi memberangsangkan status pasaran hartanah.

“Hartanah mencatatkan pertumbuhan aktiviti paling kukuh, merekodkan peningkatan masing-masing sebanyak 13.6 peratus dan 26.7 peratus bilangan dan nilai transaksi, diikuti komersial (7.7 peratus), kediaman (2.6 peratus), tanah pembangunan (2.2 peratus), dan pertanian (0.4 peratus).

“Subsektor kediaman kekal dominan dengan lebih 60 peratus aktiviti pasaran hartanah, melibatkan lebih 70,000 transaksi bernilai hampir RM29 bilion.

“Hartanah kediaman berharga RM300,000 ke bawah masih menguasai pasaran, menyumbang lebih 64,000 transaksi iaitu melebih 50 peratus daripada jumlah transaksi.

“Aktiviti pembinaan turut meningkat, dengan projek mula dibina subsektor kediaman melonjak kepada lebih 32,000 unit berbanding 25,000 unit tahun lalu, manakala unit siap dibina dan pembangunan baharu masing-masing mencapai 23,749 dan 32,103 unit,” katanya semasa Siaran Pasaran Harta Tanah Suku Ketiga 2024 di siaran langsung, semalam.

Jelas beliau, pelancaran baharu kediaman pada suku ini mencatatkan 13,708 unit, dengan kadar jualan sebanyak 22 peratus.

“Segmen pangsapuri perkhidmatan juga menunjukkan perkembangan ketara dengan peningkatan lebih 100 peratus dalam projek mula dibina berbanding tahun sebelumnya, berjumlah 18,601 unit. Pembangunan baharu yang dirancang juga naik 23 peratus kepada 10,096 unit.

“Data awalan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) mencatat 220.2 mata, dengan peningkatan tahunan sebanyak 0.4 peratus.

“Semua negeri merekodkan pertumbuhan antara 0.3 peratus hingga 5.5 peratus, kecuali Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu menguncup antara 1.2 peratus hingga 2.4 peratus.

“Sementara itu, purata harga rumah nasional kini melebihi RM475,000 seunit. Hartanah jenis rumah berkembar dan teres pula kekal dengan pertumbuhan positif dengan masing-masing 2.5 peratus dan 0.4 peratus, manakala unit bertingkat tinggi dan jenis rumah sesebuah merekodkan penurun kecil,” katanya.

Abdul Razak berkata, jumlah unit kediaman siap dibina tapi tidak terjual (overhang) subsektor kediaman di seluruh negara menunjukkan momentum positif dengan bilangan terus berkurang kepada 21,968 unit bernilai RM13.85 bilion berbanding 22,642 unit bernilai RM14.24 bilion pada suku kedua.

“Momentum sama dilihat bagi subsektor pangsapuri khidmat, di mana sebanyak 20,158 unit bernilai RM16.5 bilion, iaitu penurunan dari segi bilangan dan nilai, masing-masing 4.7 peratus dan 5.3 peratus.

“Lebih 50 peratus pangsapuri khidmat berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta mendominasi keseluruhan unit tidak terjual, namun lebih 70 peratus unit daripadanya terdiri daripada projek telah siap dalam tempoh lima hingga 10 tahun lalu,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, kadar penghunian kompleks perniagaan menunjukkan peningkatan marginal kepada 77.6 peratus berbanding 78.1 peratus tempoh sebelum, manakala pejabat milik persendirian kekal pada tahap 71.6 peratus sama seperti tempoh sebelum.

Katanya, pertumbuhan kukuh ekonomi dan sokongan kerajaan terus menyumbang kepada prestasi positif pasaran harta tanah.

“Dengan inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 telah menunjukkan keberhasilan positif dan penambahbaikan fleksibiliti syarat-syarat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) terus menyokong transaksi harta tanah mewah tempatan.

“Projek infrastruktur utama seperti Projek Rapid Transit System Link Johor Bahru-Singapura (RTS Johor), industri di kawasan utara, Lebuh Raya PAN Borneo di Sabah dan Sarawak, serta Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut memberikan impak positif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya