Solarvest, Finhero lancar penyelesaian fintech pembiayaan solar pertama Vietnam - Utusan Malaysia

Solarvest, Finhero lancar penyelesaian fintech pembiayaan solar pertama Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat fintech dari Malaysia, Finhero dan melancarkan program pembiayaan solar Powervest di Vietnam bagi menyokong peralihan tenaga bersih dalam kalangan perniagaan Vietnam.

Menurut kenyataan, usaha itu didorong oleh pengenalan kerangka Perjanjian Pembelian Kuasa Terus (DPPA) baru-baru ini,di mana permintaan terhadap penyelesaian tenaga boleh diperbaharui meningkat dengan ketara di kalangan perniagaan Vietnam.

“Banyak syarikat di Vietnam beralih kepada penyelesaian tenaga lestari untuk penjimatan kos dan mencapai matlamat kelestarian. Walau bagaimanapun, kos permulaan yang tinggi untuk sistem fotovoltaik solar (PV) kekal menjadi halangan utama.

“Program Powervest Solarvest menawarkan dua pilihan pembiayaan utama iaitu Powerflex dan Powerlease yang direka untuk memenuhi keperluan kewangan perniagaan di Vietnam.

”Powerflex menyediakan pakej fleksibel tanpa kos permulaan, membolehkan perniagaan memiliki sepenuhnya sistem PV solar dengan pembiayaan 100 peratus atau memiliki aset bersama Solarvest dengan pembiayaan 50 peratus.

“Powerlease pula membolehkan syarikat menyewa sistem PV solar dan membeli elektrik yang dihasilkan pada kadar tarif yang dipersetujui melalui model DPPA,” katanya.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Solarvest Vietnam, Dang Khai Hoang berkata, Powervest menyediakan penyelesaian yang tepat pada masanya dan praktikal untuk membiayai syarikat yang berminat mengguna pakai tenaga solar di Vietnam.

“Program ini menawarkan model kewangan yang disesuaikan untuk menjadikan tenaga bersih lebih mudah, mampu milik, dan boleh diakses oleh semua saiz perniagaan.

“Solarvest telah berjaya melaksanakan model pembiayaan ini di Malaysia dengan pembangunan aset solar melebihi 600 megawatt (MW).

“Dengan kepakaran ini, kami kini memperluaskan penyelesaian pembiayaan inovatif ini untuk menyokong permintaan tenaga boleh diperbaharui yang semakin meningkat di Vietnam,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Finhero, Top Lim berkata, dengan mengintegrasikan teknologi mereka, pelanggan Solarvest boleh menyerahkan dokumen kewangan untuk penilaian kredit percuma dan mendapatkan nasihat kewangan bagi pelaburan PV solar mereka daripada pelbagai sumber.

“Inovasi ini membawa syarikat-syarikat di Vietnam lebih dekat kepada masa depan yang lestari, di mana penggunaan tenaga boleh diperbaharui menjadi lebih mudah dan boleh diakses,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berkata, MDEC komited untuk memupuk kerjasama rentas sempadan yang mendorong inovasi dan kelestarian, terutama melalui program DEX Connex.

“Inisiatif ini menyediakan platform penting untuk syarikat Malaysia berkolaborasi, berinovasi, dan membina kerjasama kukuh dalam ekosistem teknologi dinamik Vietnam.

“Program Powervest oleh Solarvest menunjukkan bagaimana kepakaran Malaysia boleh menyumbang kepada pertumbuhan tenaga hijau Vietnam dan menyokong perniagaan dalam mengguna pakai penyelesaian tenaga lestari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya