PETALING JAYA: Ringgit menjadi mata wang paling terkesan dalam kalangan negara Asia susulan jangkaan pertumbuhan ekonomi suku ketiga negara menyederhana.
Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit menyusut kepada 4.4350/4460 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.4340/4400 ketika ditutup pada Selasa.
Mata wang tempatan kemudian terus meleset apabila ditutup pada 4.4500/4580.
Ringgit jatuh sehingga 0.3 peratus dan menghampiri paras terendah dalam tempoh tiga bulan berbanding dolar AS.
Bursa saham juga mencatat kemerosotan sehingga 0.4 peratus.
Menurut tinjauan pendapat pakar ekonomi oleh Reuters, pertumbuhan ekonomi Malaysia berkemungkinan perlahan, walaupun secara sederhana pada suku ketiga berbanding tahun sebelumnya.
“Ini disokong oleh penggunaan swasta dan aktiviti pembinaan kukuh yang mengimbangi kesan daripada penurunan pengeluaran perlombongan,” katanya.
Dengan dolar AS kekal kukuh berhampiran paras tertinggi dalam tempoh lebih enam bulan dengan kebimbangan terhadap tarif lebih tinggi yang ditekankan oleh Presiden AS yang baharu, Donald Trump terhadap import, menyaksikan ringgit kekal terdedah kepada penyusutan.
Di negara lain rantau ini, dolar Singapura didagangkan kebanyakannya stabil, manakala baht Thailand meningkat 0.4 peratus dan peso Filipina mengukuh 0.1 peratus.
Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kadar pertukaran ringgit dipengaruhi oleh banyak faktor, terutama kecairan dalam pasaran dan urus niaga pertukaran asing.
“Kita melihat pasaran saham negara juga semakin lemah, dan jika ini berterusan, ia akan memberi kesan besar kepada kadar pertukaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, aliran penurunan mata wang tempatan itu memang telah bermula sejak 30 September lalu, dari kadar 4.12 sebelum ini hingga 4.61, disebabkan pengukuhan AS dolar.
“Pengukuhan ini adalah kesan daripada keputusan pilihan raya Amerika Syarikat yang memilih Donald Trump sebagai presiden, yang seterusnya meningkatkan pasaran saham dan kadar pertukaran mereka.
“Di samping itu, penurunan kadar faedah baru-baru ini memberikan sedikit kelegaan kepada peniaga dan pelabur, dan trend ini dijangka berterusan.
“Bagaimanapun, penurunan kadar faedah oleh Federal Reserve akan membantu mengukuhkan nilai ringgit berbanding USD melalui teori pariti kadar faedah. Namun, sentimen kadar faedah itu tidak cukup kuat untuk menyaingi impak kemenangan pilihan raya Donald Trump,” katanya.
Barjoyai berkata, beliau menjangkakan ringgit akan terus lemah dalam masa terdekat.
“Walaupun belum pasti seberapa besar penurunan yang akan berlaku, harapnya ia tidak mencecah paras terendah pada April iaitu 4.79.
“Pada masa ini, kadar pertukaran berada di sekitar 4.46, tetapi situasi masih tidak menentu dan boleh menyebabkan ringgit terus melemah,” katanya.
Sementara itu, Dalam pada itu, Bank Islam Malaysia Bhd. dalam nota penyelidikannya berpandangan bahawa ringgit dijangka didagangkan dengan berhati-hati menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga Malaysia yang diumumkan pada Jumaat, serta data inflasi utama AS. – UTUSAN