Ringgit menyusut 7.8 peratus berbanding dolar AS - Utusan Malaysia

Ringgit menyusut 7.8 peratus berbanding dolar AS

SEORANG pengurup wang mengira wang kertas ringgit Malaysia sementara pelanggan menunggu di kiosk pengurup wang di Kuala Lumpur. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ringgit telah menyusut nilai sebanyak 7.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dari 1 Oktober hingga 13 November 2024, terutamanya didorong oleh pengukuhan dolar AS dalam tempoh yang sama, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata, perkara itu berlaku di tengah-tengah jangkaan pengurangan kadar dasar AS yang lebih kecil berikutan data ekonomi negara itu yang kukuh.

“Pada suku ketiga 2024, ringgit telah meningkat sebanyak 14.9 peratus berbanding dolar AS, manakala kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER) turut meningkat sebanyak 9.9 peratus.

“Peningkatan ini sebahagiannya didorong oleh peralihan dasar monetari yang lebih longgar oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), yang telah mengurangkan tekanan ke atas mata wang serantau, termasuk ringgit.

“Secara asas tahun-ke-tahun (setakat 13 November), ringgit meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding dolar AS (NEER: +6.6 peratus),” katanya.

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ringgit meningkat sebanyak 14.9 peratus pada suku ketiga dan 3.1 peratus sejak awal tahun setakat 13 November 2024 berbanding dolar AS.

“Prestasi ringgit pada suku ketiga ini didorong terutamanya oleh perubahan pendirian Fed AS ke arah pelonggaran dasar monetari, termasuk pemotongan kadar dana persekutuan sebanyak 75 mata asas secara kumulatif pada September dan November.

“Peserta pasaran kewangan juga menjangkakan pemotongan kadar selanjutnya oleh Fed AS pada tahun 2025 dan peringkat domestik, keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan Malaysia telah diperkukuh oleh pelaksanaan reformasi struktur oleh kerajaan,” katanya pada sidang media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2024, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang suku tersebut ringgit disokong dengan usaha bersepadu yang berterusan daripada kerajaan dan BNM.

“Ini termasuk program perintis Pelabur Residen Berkelayakan (QRI) yang memberikan fleksibiliti pertukaran asing untuk menggalakkan syarikat residen membawa pulang dana dalam mata wang asing dan menukarnya kepada ringgit.

“Memandangkan maklum balas positif yang diterima mengenai program QRI, kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa program perintis ini akan diperluas lagi untuk menerima permohonan daripada syarikat residen yang layak.

“Syarikat itu adalah yang mempunyai aset pelaburan langsung di luar negara sebanyak RM500 juta dan ke atas (sebelum ini RM1 bilion), dengan tarikh akhir pendaftaran dilanjutkan sehingga 30 Jun 2025.

“Maklumat tambahan mengenai program ini seperti kriteria kelayakan, borang permohonan dan maklumat operasi lain boleh didapati di laman web BNM,’ katanya.
Memperkecil jurang kadar faedah dan faktor domestik dijangka terus menyokong ringgit

Dalam pada itu, beliau berkata, melangkah ke hadapan, ringgit dijangka disokong oleh jurang kadar faedah yang semakin kecil antara AS dan Malaysia.

“Ini walaupun terdapat ketidaktentuan dalam pasaran kewangan berikutan keputusan pilihan raya Presiden AS baru-baru ini.

“Tambahan pula, pertumbuhan domestik yang kukuh dan momentum reformasi yang berterusan boleh memberikan lebih banyak sokongan kepada ringgit,” katanya.

Tambahnya, BNM akan terus memastikan keseimbangan aliran yang lebih baik dan penyesuaian ringgit yang teratur di tengah-tengah risiko global yang berpunca daripada pengurangan kadar dasar AS yang lebih perlahan, ketegangan geopolitik dan ketidakpastian dasar selepas pilihan raya AS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya