Ringgit diunjur catat penurunan bulanan terburuk sejak 2015 - Utusan Malaysia

Ringgit diunjur catat penurunan bulanan terburuk sejak 2015

SEORANG pengurup wang mengira wang kertas ringgit Malaysia sementara pelanggan menunggu di kiosk pengurup wang di Kuala Lumpur. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit diunjur mengalami penurunan bulanan terburuknya dalam tempoh sembilan tahun, apabila pelabur mengecilkan semula aset berisiko di tengah-tengah kebimbangan pilihan raya Amerika Syarikat (AS).

Ringgit susut lebih enam peratus berbanding dolar AS pada Oktober 2024, meletakkannya pada kadar kerugian bulanan terbesar sejak Ogos 2015, kata Oversea-Chinese Banking Corp (OCBC).

Pada Rabu, ringgit didagangkan pada 4.39 sedolar AS.

“Kekuatan dolar AS memberi tekanan berat terhadap wang Asia pada Oktober, akibat peniaga menilai semula kadar pemotongan faedah Rizab Persekutuan AS dan mengelakkan aset berisiko menjelang pilihanraya AS.

Pakar strategi mata wang di OCBC Singapura, Christopher Wong berkata, ringgit merupakan antara yang terjejas kerana pengukuhannya sendiri di mana nilainya naik 14 peratus berbanding dolar pada suku terakhir, menjadikannya prestasi terbaik Asia.

“Kenaikan nilai ringgit yang ketara memberi lebih banyak ruang untuk pembetulan.

“Sensitiviti ringgit terhadap Yuan China dan Yen Jepun juga merupakan antara yang tertinggi di rantau ini, ini mampu menjelaskan mengapa ringgit mengalami lebih tekanan daripada mata wang yang lain,” katanya.

Yen Jepun adalah satu-satunya mata wang di seluruh Asia yang mencatatkan prestasi lebih buruk daripada ringgit bulan ini, manakala Yuan luar pesisir China telah menyusut sekitar dua peratus berbanding dolar.

Nasib ringgit dalam jangka masa terdekat sebahagiannya bergantung kepada keputusan pilihan raya AS.

Penganalisis di OCBC dan MUFG Bank turut meramalkan ringgit akan mengukuh jika calon Presiden Demokrat, Kamala Harris dipilih sebagai Presiden.

Katanya, ia akan mengurangkan risiko tarif yang boleh menjejaskan ekonomi di seluruh Asia.

MUFG meramalkan ringgit akan meningkat kepada 4.12 bagi setiap dolar menjelang akhir tahun, manakala OCBC menjangkakan ia meningkat kepada 4.22.
Bagaimanapun, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kurang setuju dengan jangkaan tersebut kerana kedua-duanya (Donald Trump dan Kamala Harris) membawa dasar yang berbeza.

“Donald Trump, dasar beliau lebih cenderung bersifat antagonistik, dengan penggunaan instrumen seperti tarif secara meluas untuk menyokong industri tempatan.

“Apa yang pasti, ketidaktentuan pasaran kini berada pada tahap yang sangat tinggi, menyebabkan permintaan terhadap dolar AS meningkat, memandangkan mata wang tersebut dianggap sebagai mata wang selamat,” katanya.

Beliau menganggarkan kadar mata wang tempat akan berlegar pada RM4.20 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya