Ringgit berpotensi kukuh semula, lepasi paras RM4 sedolar AS - Utusan Malaysia

Ringgit berpotensi kukuh semula, lepasi paras RM4 sedolar AS

ringgit
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit yang kini dalam fasa pembetulan berpotensi untuk kembali mengukuh melepasi paras psikologi RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berdasarkan beberapa penilaian asas yang menyokong, menurut TA Securities.

Firma penyelidikan itu berkata, gabungan faktor positif seperti lebihan dagangan yang kukuh, perbezaan kadar faedah yang menarik, peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dan harga komoditi yang tinggi boleh mendorong ringgit untuk memecahkan paras psikologi RM4.00.

“Bagaimanapun, trajektori itu juga akan bergantung kepada risiko luaran, seperti ketidaktentuan ekonomi global, dasar monetari dalam ekonomi maju dan turun naik tidak menentu harga komoditi.

“Tinjauan untuk ringgit lebih kukuh menjadi lebih realistik, disokong oleh beberapa siri perkembangan positif di dalam negara dan di peringkat global yang boleh memacu prestasinya tahun depan.

“Pada masa ini, ringgit sedang menjalani fasa pembetulan, berlegar sekitar RM4.30 hingga RM4.40 berbanding dolar AS selepas mencecah RM4.125 pada 27 September 2024,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

TA Securities berkata, situasi buruk telah berakhir memandangkan ringgit kini telah pulih daripada paras melebihi RM4.60 seperti tahap yang dicapai hampir tiga tahun lalu.

“Pemulihan itu disokong oleh asas ekonomi yang kukuh dan sentimen pelabur yang bertambah baik terhadap Malaysia.

“Menjelang 2025, kami menjangkakan pertumbuhan menaik bagi ringgit akan berterusan, dengan kebarangkalian yang tinggi memecahkan halangan psikologi RM4.00 dan menguji tahap sokongan seterusnya pada RM3.90.

“Walaupun beberapa turun naik dijangka antara RM4.30 dan RM3.90, ringgit boleh mencatatkan purata lebih kukuh sebanyak RM4.10 pada 2025, lebih baik berbanding jangkaan RM4.55 tahun ini,” katanya.

Firma itu berkata, beberapa faktor makroekonomi dan dipacu pasaran mempengaruhi interaksi antara penawaran dan permintaan, yang sama ada boleh meningkat atau menurunkan nilai ringgit.

“Bekalan atau ketersediaan ringgit dalam pasaran global dan domestik boleh meningkat apabila entiti dan individu tempatan menukar ringgit dengan mata wang asing, sama ada untuk import, pelaburan luar atau pembayaran balik hutang.

“Ringgit akan mengukuh jika permintaan melebihi penawaran, didorong oleh eksport, FDI, dan kadar faedah tinggi. Sebaliknya, lebihan bekalan, terutama semasa tempoh import atau aliran keluar modal tinggi akan menyebabkan ringgit melemah,” katanya

Tambahnya, dalam senario unjuran 2025, gabungan lebihan perdagangan yang lebih kukuh, perbezaan kadar faedah yang mengecil, dan persekitaran pelaburan yang lebih mengalakkan dijangka akan meningkatkan permintaan terhadap ringgit.

“Ini akan membawa kepada peningkatan mata wang tersebut seperti yang dijangkakan

“Sementara itu, fokus strategik Malaysia untuk mengurangkan hutang luar negeri dan menggalakkan FDI masuk seharusnya membantu mengimbangi tekanan bahagian bekalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya