Purata gaji eksekutif, bukan eksekutif dijangka naik 5.5 peratus pada 2025 - Utusan Malaysia

Purata gaji eksekutif, bukan eksekutif dijangka naik 5.5 peratus pada 2025

SYED Hussain Syed Husman (tengah depan) dan Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan (dua dari kiri) semasa pelancaran penerbitan tahunan MEF 2024 di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Purata gaji bagi eksekutif dan bukan eksekutif di Malaysia dijangka meningkat masing-masing sebanyak 5.50 peratus dan 5.41 peratus pada 2025, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, jangkaan itu berikutan keyakinan syarikat terhadap perkembangan ekonomi semakin meningkat, terutama dengan momentum pertumbuhan yang lebih baik daripada jangkaan awal pada tahun ini.

“Pada 2024, purata kenaikan gaji eksekutif ialah 4.90 peratus, berbanding 5.88 peratus pada 2023, manakala bukan eksekutif 4.85 peratus berbanding 5.56 peratus pada 2023.

“Kira-kira 88 peratus syarikat responden memberikan kenaikan gaji kepada semua atau sebahagian pekerja eksekutif dan bukan eksekutif pada 2024.

“Lebih 90 peratus syarikat yang dikaji menyatakan prestasi pekerja adalah kriteria utama untuk pemberian kenaikan gaji,” katanya semasa pelancaran penerbitan tahunan MEF 2024 di sini, semalam.

Selain itu, beliau berkata, hampir 80 peratus syarikat responden memberikan bonus kepada eksekutif dan bukan eksekutif.

“Bonus yang diunjurkan bagi 2025 adalah 2.32 bulan dan 2.22 bulan masing-masing untuk eksekutif bukan eksekutif, menjadikan ia lebih tinggi daripada bonus sebenar pada 2024 masing-masing sebanyak 2.14 bulan dan 1.82 bulan.

“Dalam sektor awam, negeri seperti Sarawak dan Selangor telah mengumumkan bonus dua bulan kepada penjawat awam.

“Bagi gaji minimum, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menaikkan kadar minimum kepada RM1,700, dengan model kenaikan yang lebih progresif bertujuan membantu lebih ramai pekerja meraih manfaat daripada subsidi gaji yang telah diperuntukkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Dasar Gaji Progresif (PWP) Perintis, beliau berkata, MEF telah mengumpulkan pandangan tentang PWP untuk membantu merumuskan dasar gaji dan strategi negara.

“Sekitar 60 peratus syarikat yang dikaji menunjukkan kesedaran yang terhad tentang aspek Dasar Gaji Progresif, namun hanya dua peratus (lima syarikat) menyatakan minat untuk menyertai Dasar Gaji Progresif Perintis.

“Dari segi insentif kewangan untuk menyertai dasar ini, hanya 11 peratus syarikat menganggapnya menarik, 38 peratus tidak setuju, dan 51 peratus tidak pasti, manakala hanya 11 peratus syarikat menyokong PWP dijadikan mandatori dan 39 peratus mencadangkan ia dilaksanakan secara sukarela,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya