PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usaha sama Kumpulan MMC dan APM Terminals berjaya menyempurnakan operasi penampungan (bunkering) metanol pertama yang melibatkan kapal kontena berkuasa dwi-bahan api daripada Maersk.
Kapal kontena tersebut yang diberikan nama Antonia Maersk, merupakan kapal ketiga daripada 18 jumlah keseluruhan kapal kontena generasi baharu berkuasa dwi-bahan api yang dimiliki oleh syarikat gergasi perkapalan dari Denmark, yang mampu belayar menggunakan bahan api Metanol.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, operasi penampungan metanol dari kapal ke kapal kontena tersebut merupakan kejayaan terbaharu PTP kerana pertama kali dilakukan PTP.
“Kejayaan operasi ini adalah langkah penting dalam misi PTP untuk terus memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pelabuhan pilihan utama di rantau ini.
“Kejayaan operasi penampungan metanol ini menunjukkan kesediaan dan keupayaan PTP untuk mengendalikan operasi yang melibatkan bahan api alternatif marin dan membuka jalan sebagai perintis penyelesaian bahan api alternatif yang pelbagai,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman turut memuji kerjasama antara PTP, Maersk dan kerajaan Malaysia yang berjaya menetapkan piawaian jelas dalam operasi, terutamanya dalam memudahkan perkongsian pengetahuan, pembangunan infrastruktur dan keupayaan penampungan bahan api alternatif tersebut.
“Sebagai persediaan untuk operasi penampungan metanol ini, PTP bekerjasama rapat dengan Maersk, Maersk Oil Trading, Jabatan Laut Malaysia, Lembaga Pelabuhan Johor, dan pelbagai agensi kerajaan.
“Bersama-sama, kami menjalankan latihan dan sesi bengkel, mewujudkan prosedur keselamatan yang ketat melalui penilaian operasi dan risiko yang komprehensif, pemodelan dan pengesahan; membawa kepada latihan penempatan.
“Usaha ini merupakan refleksi terhadap dedikasi PTP terhadap keselamatan dan kepuasan pelanggan, membolehkan kami untuk terus menawarkan kepada syarikat-syarikat perkapalan dan penerima konsainan perkhidmatan yang berkualiti tinggi, tepat pada masanya melalui kecekapan operasi dan kapasiti terminal pelabuhan yang diperluaskan,” katanya.
Tahun ini, PTP telah berjaya mencipta rekod operasi baharu yang luar biasa dengan kajayaan mencatatkan kendalian lebih satu juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) kontena selama enam bulan berturut-turut, bermula pada Mei hingga Oktober tahun ini.
Selain itu, pada 22 September 2024, PTP turut melepasi rekodnya sendiri dengan engendalikan sebanyak 14,036 pergerakan kontena dalam satu syif 12 jam.
PTP juga telah diiktiraf sebagai pelabuhan kontena ke-5 paling cekap di dunia, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia dan S&P Global Market Intelligence dalam Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena (CPPI) terkini 2023. Selain itu, PTP kini turut berada di kedudukan ke-15 antara pelabuhan paling sibuk di dunia. – UTUSAN