PETALING JAYA: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mencatatkan hasil sebanyak RM459 juta, menunjukkan peningkatan sebanyak 3.6 peratus pada suku ketiga tahun kewangan 2024 berbanding suku kedua tahun yang sama.
Menurut kenyataan, walaupun mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM40.4 juta, syarikat itu berjaya mencatatkan peningkatan yang signifikan sebanyak 21.1 peratus berbanding suku kedua 2024, didorong oleh prestasi kukuh dalam segmen pos dan penerbangan.
“Momentum positif dalam segmen pos disokong oleh peningkatan jumlah bungkusan, didorong oleh peningkatan penguasaan pasaran serta tumpuan khusus kepada pengurusan kos dan pengoptimuman rangkaian.
“Segmen ini kekal komited kepada agenda transformasinya dan usaha kepelbagaian hasil, termasuk pembangunan penawaran produk antarabangsa berasaskan aset ringan,” katanya.
Jelasnya, Pos Aviation menjangka pertumbuhan berterusan dari tahun ke tahun.
“Ini didorong oleh peningkatan operasi penerbangan, lonjakan permintaan untuk penyediaan makanan dalam penerbangan, serta pertumbuhan dalam perkhidmatan pengendalian kargo dan kejuruteraan penerbangan.
“Segmen ini berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan perjalanan dan logistik yang semakin meningkat.
“Sementara itu, Pos Logistics menghadapi cabaran dalam suku ketiga disebabkan oleh kerugian tukaran mata wang asing yang belum direalisasikan.
“Namun, segmen ini secara aktif mengejar peluang perniagaan baharu dan memperluaskan penguasaan pasaran dalam sektor automotif, di samping meningkatkan perkhidmatan penghantaran barangannya,” katanya.
Kumpulan Pos Malaysia kekal komited terhadap transformasi strategiknya dengan usaha berterusan untuk memacu pertumbuhan, inovasi, dan kepelbagaian dalam semua segmen perniagaannya.
“Walaupun persekitaran masih mencabar, kami berbesar hati melihat peningkatan dalam segmen utama kami, khususnya pos dan penerbangan, ketika kami terus melaksanakan strategi transformasi kami,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, dedikasi pasukan syarikat terhadap inovasi dan kecemerlangan operasi meletakkannya di landasan untuk masa depan yang lebih kukuh.
“Meskipun cabaran yang dihadapi, kami tetap fokus untuk mencapai hari esok yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN