PNB, Khazanah perjelas penjualan saham FashionValet - Utusan Malaysia

PNB, Khazanah perjelas penjualan saham FashionValet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjelaskan penjualan kepentingan kecilnya dalam syarikat e-dagang FashionValet adalah bagi memastikan kelangsungan syarikat berdepan cabaran pasca Covid-19.

Menurut PNB, pada 2018, pihaknya melabur AS$5 juta (RM20 juta) dalam FashionValet (FV) melalui Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus (RCPS) untuk pegangan minoriti.

Jelasnya, ini bertujuan menyokong pertumbuhan syarikat yang ketika itu menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan pendapatan sekitar 60 peratus setiap tahun dalam tempoh tiga tahun sebelumnya.

“Keseluruhan hasil pelaburan tersebut ditujukan untuk menyokong inisiatif pertumbuhan FV dan bukannya kepada pemegang saham sedia ada, termasuk pengasas syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan.

PNB berkata, pelaburan dalam FV bertujuan untuk bekerjasama dengan pelabur lain bagi membantu syarikat peruncitan digital bumiputera itu yang mempunyai perkembangan kukuh dan untuk berkembang sebagai platform serantau bagi pereka dan jenama tempatan.

“FV juga menyasarkan pembukaan kedai fizikal untuk memberikan pengalaman omnichannel kepada pengguna serta membangunkan jenama yang dimiliki sepenuhnya.

“Selain itu, pelaburan ini turut selaras dengan seruan kerajaan kepada Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk membangunkan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi yang beroperasi dalam ekonomi baharu.

“Malangnya, selepas pelaburan dibuat, FV terkesan teruk akibat pandemik COVID-19. Sekatan pergerakan yang dilaksanakan menyukarkan operasi kedai fizikal walaupun perbelanjaan modal besar telah digunakan untuk melengkapkan kedai-kedai ini.

“Situasi ini akhirnya menimbulkan cabaran aliran tunai yang turut menjejaskan perniagaan platform dalam talian FV. Dalam menghadapi krisis ini, FV memerlukan suntikan modal segera, tetapi pelabur sedia ada, termasuk PNB, tidak bersedia untuk menyuntik dana tambahan disebabkan risiko yang berkaitan,” katanya.

Menjelas lanjut katanya, setelah melalui proses pengumpulan dana yang berpanjangan dari 2022 hingga 2023, seorang pelabur bumiputera muncul dan bersedia untuk melabur modal baharu ke dalam syarikat tersebut pada penilaian yang jauh lebih rendah.

“Ini mengambil kira keadaan yang mencabar dan suasana pengumpulan dana global yang sukar. Pelabur bumiputera itu juga menawarkan untuk membeli pegangan yang dimiliki oleh pelabur sedia ada dalam FV.

“Dengan pegangan PNB yang kecil dan alokasi besar untuk pelaburan ini, keputusan untuk menerima tawaran pembelian tersebut telah diambil bagi memudahkan kelangsungan FV,” katanya.

PNB menegaskan bahawa pelaburan itu dibuat menggunakan dana proprietari PNB dan bukan dana amanah saham di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dilanggan oleh orang awam.

“Meskipun PNB mengalami kerugian sebanyak RM18.7 juta selepas menerima hasil jualan sebanyak RM1.3 juta, pelaburan ini perlu dilihat dalam konteks keseluruhan aset pelaburan PNB yang bernilai RM337 bilion serta RM16.4 bilion dalam pendapatan pelaburan yang dijana selepas mengambil kira kerugian ini pada tahun kewangan 2023.

“PNB juga mengakui risiko dan ganjaran dalam melabur dalam modal teroka dan ekuiti persendirian dan menjelaskan bahawa pelaburan seperti ini diuruskan sebagai sebahagian daripada portfolio, dengan prestasi dinilai berdasarkan keseluruhan portfolio dan bukan pelaburan tertentu sahaja.

“Bagi mengawal risiko, PNB menerapkan had ketat dan garis panduan supaya pelaburan tidak tertumpu dan kebanyakannya dibiayai melalui dana proprietari, demi melindungi pemegang unit ASNB daripada sebarang potensi kerugian.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjelaskan langkahnya menjual kepentingan dalam syarikat e-dagang fesyen tempatan, FashionValet, setelah pelaburan awal sebanyak RM27 juta pada 2018 untuk memacu syarikat tersebut.

Penjualan ini dilakukan bagi mengalihkan pemilikan kepada pihak baharu yang berupaya memacu syarikat ke arah pertumbuhan baharu, sejajar dengan tempoh pegangan pelaburan yang telah mencapai matlamat.

Khazanah berkata, keputusan menjual kepentingan tersebut kepada NXBT Partners, yang diterajui seorang usahawan tempatan berpengalaman, dibuat setelah FV berdepan pelbagai cabaran, termasuk kesan daripada pandemik Covid-19.

“FV yang sebelum ini memasarkan lebih daripada 400 jenama dengan jangkaan pertumbuhan pendapatan tahunan sekitar 60 peratus, kini mengubah fokus kepada pembangunan jenama milik penuh, Duck dan Lilit, dalam usaha mengekalkan margin dan aliran tunai.

“FashionValet mengalami cabaran besar, terutama dalam usaha pengumpulan dana ketika persekitaran ekonomi yang tidak menentu pada 2022 hingga 2023. NXBT Partners tampil menawarkan suntikan modal penting dan sokongan pengurusan untuk membantu kelangsungan syarikat ini,” katanya.

Khazanah menjelaskan bahawa pelaburan awal dalam FashionValet dibuat berdasarkan potensi platform e-dagang tempatan itu serta komitmen untuk menyokong usahawan Malaysia dan syarikat-syarikat pada peringkat awal.

“Tema pelaburan ‘Offline-to-Online’ juga mendorong keputusan Khazanah untuk melabur dalam syarikat tersebut pada masa itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya