PMB Investment, Bank Islam jangka pertumbuhan jualan

PMB Investment, Bank Islam jangka pertumbuhan jualan 10% hingga 20% melalui 5 dana baharu 

ZAHARAH Mutalib (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama Hang Tuah Amin Tajudin (dua dari kanan) pada majlis MOU antara Bank Islam dan PMB Investment, di sini, hari ini.-UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PMB Investment Berhad (PMB Investment) dan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menjangkakan pertumbuhan jualan sebanyak 10 hingga 20 peratus dalam tempoh setahun akan datang melalui lima dana pelaburan yang baru diperkenalkan. 

Pemangku Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, kerjasama ini memperluaskan aksesibiliti dana PMB Investment kepada lebih ramai pelanggan melalui 135 cawangan Bank Islam, yang menjangkau kedua-dua segmen pasaran runcit dan pelanggan berpendapatan tinggi.

“Kami mereka bentuk dana ini untuk memenuhi keperluan semua pihak. Dari pelabur pasaran massa hingga individu berpendapatan tinggi, kami mahu memastikan peluang ini boleh diakses secara meluas,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kerjasama strategik antara PMB Investment dan Bank Islam di sini hari ini. 

Melalui kerjasama ini, Bank Islam menjadi ejen unit amanah yang kelapan dalam rangkaian pengedaran PMB Investment. 

Bank Islam akan memanfaatkan rangkaian cawangan yang meluas di seluruh negara untuk memasarkan dan mengedarkan lima dana unit amanah PMB Investment yang mematuhi prinsip syariah iaitu PMB Dana Al-Aiman, PMB Dana Bestari, PMB Dana Indeks Shariah, Dana Ekuiti Shariah serta PMB Dana Pengurusan Tunai Shariah. 

Sasaran kerjasama ini adalah untuk meningkatkan Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PMB Investment kepada RM2.0 bilion menjelang 2025.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Kekayaan di Bank Islam, Datin Zaharah Muttalib berkata, pelaburan permulaan untuk pelanggan runcit adalah RM1,000 dengan pelaburan seterusnya ditetapkan pada RM500. 

Ketika ditanya mengenai strategi pengedaran, beliau mengesahkan, saluran jualan utamanya adalah melalui cawangan iaitu pengurus hubungan dan pegawai perbankan peribadi akan berinteraksi terus dengan pelanggan.

Zaharah menjelaskan, Bank Islam menggunakan cawangan untuk perundingan secara bersemuka dan bercadang untuk mempertingkatkan keupayaan dalam talian dalam tempoh setahun. 

“Walaupun pengaruh teknologi kewangan semakin meningkat, Bank Islam tetap yakin dengan pendekatan peribadi mereka. 

“Pelabur dengan saiz pelaburan kecil sering mencari perundingan apabila memulakan pelaburan yang menjadikan lawatan ke cawangan sangat berharga,” katanya. 

Beliau berkata, bagi pelabur yang lebih berpengalaman, pihaknya menjangkakan penerimaan digital dan sedang bersiap sedia untuk memenuhi permintaan tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya