PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) membuat pelaburan baharu berjumlah RM7.5 bilion di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurut hantarannya di platform X, pelaburan ini termasuk projek tenaga solar 40 megawatt, kerjasama antara Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) dan LG Chemical untuk pengeluaran Nitrile Butadiene Latex (NBL).
Katanya, pelaburan itu juga melibatkan loji kitar semula bahan kimia tercanggih untuk plastik serta pembangunan bio-refinery yang dijangka akan beroperasi menjelang 2028.
“Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang berjumpa pengurusan Petronas bagi membincangkan mengenai kemajuan terkini di PIC.
“Menerusi perjumpaan ini, saya dimaklumkan perkembangan terkini bahawa sebanyak RM7.5 bilion jumlah pelaburan baharu telah dilakukan oleh Petronas,” katanya.
Tambahnya, beliau juga dimaklumkan bahawa PIC telah menyelesaikan Ujian Prestasi Terpadu (PTR) untuk 54 loji mereka.
“Pelbagai perancangan pembangunan telah dirangka di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang berkeluasan 9268.92 hektar dan akan dibangunkan dalam empat fasa, sejak dari 2012 hingga 2037, dalam mewujudkan rantaian minyak dan gas hiliran di Johor.
“Semoga segala pembangunan ini memberi limpahan ekonomi serta menarik pelabur-pelabur baharu agar hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 tercapai. Insya-Allah,” ujarnya.
PIC berkeluasan 2,550.7 hektar terletak di dalam PIPC, pembangunan perindustrian di bawah bidang kuasa Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC).
JPDC ialah agensi persekutuan yang melaporkan kepada Kementerian Ekonomi dan adalah anak syarikat Malaysia Petroleum Resources Corp (MPRC).
Merentasi kawasan yang luas di Pengerang, PIPC direka untuk merangkumi pelbagai kemudahan termasuk kilang penapisan, loji petrokimia, terminal penyimpanan dan infrastruktur sokongan. – UTUSAN