Petronas dinobat jenama paling bernilai di ASEAN - Utusan Malaysia

Petronas dinobat jenama paling bernilai di ASEAN

PETRONAS dinobat jenama paling bernilai di ASEAN. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat minyak dan gas gergasi Malaysia, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dinobatkan sebagai jenama paling bernilai ASEAN pada tahun ini, menurut laporan baharu Brand Finance.

Perunding penilaian jenama terkemuka dunia itu mendapati prestasi kewangan Petronas kekal teguh, dengan nilai jenama naik 15 peratus kepada AS$14.6 bilion (RM65 bilion), didorong peralihan strategik ke arah peningkatan aktiviti perdagangan dalam minyak mentah dan petrokimia yang telah menyumbang kepada peningkatan hasil yang ketara.

“Jenama perbankan Singapura DBS ialah jenama kedua paling bernilai di rantau ini dengan merekodkan markah tinggi dalam metrik pertimbangan, kesetiaan, promosi dan kebiasaan, yang dikaitkan dengan produk kewangannya yang inovatif, perkhidmatan yang mengutamakan pelanggan dan usaha promosi yang meluas.

“Viettel dari Vietnam berada di kedudukan jenama ketiga paling bernilai di ASEAN pada tahun 2024. Keupayaan jenama telekomunikasi untuk mengekalkan peneraju pasarannya dan menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi yang mampu dimiliki telah memperoleh pengiktirafan jenama yang kukuh dan kepercayaan pengguna,” menurut kenyataan.

Indeks Persepsi Kemampanan 2024 mendapati antara jenama ASEAN dalam penarafan, Petronas mempunyai nilai persepsi kemampanan tertinggi sebanyak AS$1.3 bilion (RM5.79 bilion) dan nilai jurang positif tertinggi sebanyak AS$87 juta (RM387 juta) dalam kalangan jenama dalam ranking.

Sektor makanan, peruncitan, hospitaliti serta raidah dan pelancongan rantau ini menerajui pertumbuhan ekonomi serantau, didorong oleh peningkatan perbelanjaan pengguna pasca pandemik dan inovasi digital.

Sementara itu, Pengarah Urusan Brand Finance Asia Pasifik, Alex Haigh berkata, memandangkan permintaan pengguna dan inovasi digital memacu pertumbuhan, jenama ikonik seperti Vinamilk, Lazada, dan Marina Bay Sands bukan sahaja menerajui sektor mereka tetapi juga memacu kemakmuran serantau yang lebih luas.

“Kekuatan kolektif jenama ini mencerminkan keupayaan unik ASEAN untuk menyesuaikan diri dan berkembang maju dengan kemajuan setiap sektor menguatkan daya tahan keseluruhan dan momentum ke hadapan rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, laporan tersebut turut menyatakan lantunan perjalanan di Asia Tenggara juga telah meningkatkan jenama hotel dan pelancongan termasuk Berjaya Land (nilai jenama naik dua peratus kepada AS$403 juta (RM1.79 bilion) dan Millennium Hotels [nilai jenama naik 39 peratus kepada AS$401 juta (RM1.78 bilion)].

Turut mendorong adalah Centara Hotels & Resorts [nilai jenama AS$234 juta (RM1.04 bilion)] dan Marina Bay Sands [nilai jenama AS$6.2 bilion (RM27.62 bilion)]. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya