PETALING JAYA: Petronas Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) lebih tinggi bernilai RM335.13 juta pada suku ketiga 2024 berbanding RM184.72 juta yang direkodkan dalam suku sama tahun lalu.
Petronas Dagangan berkata, kenaikan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi dalam sektor Runcit Mogas dan penerbangan, yang didorong oleh peningkatan pergerakan penumpang domestik dan antarabangsa.
“Untuk suku berakhir pada 30 September 2024, Petronas Dagangan mencatatkan jumlah jualan sebanyak 4.3 bilion liter, meningkat dua peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
“Keuntungan sebelum cukai melonjak kepada RM445.9 juta, mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 70 peratus berbanding suku sama tahun lalu.
“Prestasi kukuh ini didorong oleh margin yang tinggi hasil daripada trend harga yang menggalakkan dan kos produk yang lebih rendah dalam kedua-dua segmen runcit dan komersial,” katanya dalam kenyataan.
Bagi sembilan bulan yang berakhir pada 30 September 2024, pendapatan tahunan Petronas Dagangan berjumlah RM29 bilion, meningkat lima peratus berbanding tempoh sama pada 2023, disokong oleh kenaikan empat peratus dalam jumlah jualan dan harga jualan purata yang lebih tinggi.
Secara kumulatif, keuntungan sebelum cukai syarikat meningkat sebanyak 12 peratus kepada RM1.2 bilion, didorong oleh peningkatan keuntungan kasar dalam semua segmen.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani berkata, prestasi suku ini mencerminkan fokus strategik syarikat terhadap kecekapan operasi dan pertumbuhan sasaran di semua segmen perniagaan.
“Keuntungan yang kukuh ini menunjukkan kepercayaan pelanggan terhadap kami, kekuatan operasi kami, dan komitmen kami untuk kecemerlangan di semua titik sentuhan.
“Menjelang penghujung tahun, usaha-usaha ini meningkatkan ketahanan kami dan nilai yang kami berikan kepada pelanggan,” katanya.
Disokong oleh penggunaan domestik yang kukuh dan pemulihan aktiviti perdagangan, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang antara 4.8 dan 5.3 peratus pada 2024.
Latar belakang ekonomi yang menggalakkan ini menyokong prospek Petronas Dagangan untuk prestasi yang stabil di semua segmen perniagaan menjelang penghujung tahun.
Jelas beliau, syarikat terus mengukuhkan perniagaan terasnya dan mengembangkan tawaran bukan bahan bakar, selain memanfaatkan Setel untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, serta memberi tumpuan kepada pengembangan tawaran produk Mesra bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berkembang.
“Walaupun kami memberi tumpuan untuk mengakhiri tahun ini dengan kuat, komitmen kami kekal terhadap pencapaian pertumbuhan berterusan dan penciptaan nilai bagi pihak berkepentingan serta memastikan komitmen kami untuk menjadikan kehidupan lebih mudah dan lebih baik untuk pelanggan kami,” tambah nya.
Petronas Dagangan turut mengumumkan pengagihan dividen interim sebanyak 24 sen setiap saham biasa untuk suku yang berakhir pada 30 September 2024.- UTUSAN