PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia kekal kukuh dan mencatatkan jumlah tertinggi bagi tempoh 10 bulan pertama setakat ini apabila meningkat 9.3 peratus kepada RM2.38 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, eksport mengembang 4.8 peratus kepada RM1.24 trilion dan import naik 14.6 peratus kepada RM1.14 trilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM102.77 bilion.
Menurutnya, pada Oktober 2024, perdagangan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-10 bulan berturut-turut, meningkat 2.1 peratus kepada RM244.26 bilion.
“Eksport naik 1.6 peratus kepada RM128.12 bilion, manakala import mengembang dengan kadar yang lebih sederhana sebanyak 2.6 peratus kepada RM116.14 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM11.98 bilion.
“Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-54 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020,” katanya dalam kenyataan.
MITI berkata, pertumbuhan eksport pada Oktober didorong oleh permintaan kukuh terhadap barangan perkilangan yang mewakili 85.4 peratus daripada jumlah eksport.
“Peningkatan dicatatkan sebanyak 1.9 peratus kepada RM109.46 bilion berikutan kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran getah, barangan makanan diproses serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
“Dari segi pasaran, Malaysia mencatatkan pertumbuhan eksport ke Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan,” katanya.
Berbanding September, perdagangan, eksport dan import pada Oktober masing-masing meningkat sebanyak 4.2 peratus, 3.7 peratus dan 4.8 peratus.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2025 yang diterbitkan baru-baru ini, perdagangan Malaysia diunjur berkembang sebanyak 9.4 peratus pada 2024, dengan eksport dan import masing-masing naik sebanyak 5.6 peratus dan 13.8 peratus.
Sementara itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia terus mampan pada suku ketiga tahun 2024, meningkat sebanyak 5.3 peratus, merupakan pertumbuhan kukuh sukuan tahun yang ketiga berturut-turut.
Ini meletakkan negara di landasan yang betul ke arah mencapai unjuran pertumbuhan KDNK oleh Kementerian Kewangan di antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus pada 2024.
Bagaimanapun, MITI berkata, sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, Malaysia turut terdedah kepada risiko global yang boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonominya, termasuk ketegangan geopolitik yang meruncing, gangguan rantaian bekalan, ketidaktentuan pasaran kewangan dan prospek pertumbuhan yang tidak sekata antara rakan dagang.
“Berikutan itu, MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan sentiasa bersedia untuk memastikan risiko terhadap pertumbuhan perdagangan dipantau secara lebih rapat dan seterusnya dapat dikurangkan, khasnya melalui aktiviti promosi pemasaran yang dipertingkatkan serta pembukaan pasaran baharu untuk eksport Malaysia,” katanya. – UTUSAN