KUALA LUMPUR: Perkembangan aktiviti pelaburan yang kukuh, peningkatan eksport secara berterusan dan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan akan mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa hadapan, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia.
Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, di dalam negeri, aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan dalam projek berbilang tahun merentas sektor swasta dan awam.
“Inisiatif pemangkin yang diumumkan dalam pelan induk nasional dan pelaksanaan yang lebih tinggi bagi pelaburan yang diluluskan juga merupakan pemacu utama bagi aktiviti pelaburan.
“Pelaburan-pelaburan ini, yang disokong oleh import modal yang lebih tinggi, akan meningkatkan eksport dan mengembangkan kapasiti produktif dalam ekonomi. Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan gaji yang berterusan serta langkah-langkah dasar,” katanya dalam sidang media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2024.
Jelas beliau, di luar negeri, kitaran teknologi global yang terus meningkat, permintaan kukuh yang berterusan untuk barangan perkilangan dan komoditi serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi dijangka akan mempertingkatkan eksport.
“Prospek pertumbuhan Malaysia kekal tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih perlahan, ketegangan geopolitik dan langkah-langkah perlindungan perdagangan yang semakin meruncing serta pengeluaran komoditi yang lebih lemah daripada jangkaan.
“Walau bagaimanapun, faktor yang boleh menyokong pertumbuhan yang lebih tinggi termasuk limpahan yang lebih besar daripada peningkatan kitaran teknologi, pelaksanaan projek pelaburan yang lebih cepat dan aktiviti pelancongan yang lebih mantap,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rasheed menjelaskan, dari awal tahun hingga kini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras mencatatkan purata sebanyak 1.8 peratus.
“Kesan limpahan daripada pelarasan harga diesel kepada harga secara amnya terkawal, memandangkan langkah-langkah pengurangan dan penguatkuasaan yang berkesan untuk meminimumkan kesan terhadap kos perniagaan serta mengurangkan pindahan kos kepada harga runcit.
“Pada masa hadapan, prospek inflasi akan bergantung pada pelaksanaan langkah-langkah dasar dalam negeri yang selanjutnya berhubung dengan subsidi dan kawalan harga, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan,” katanya. – UTUSAN