Pendapatan Sedania meningkat 50% suku pertama 2025 - Utusan Malaysia

Pendapatan Sedania meningkat 50% suku pertama 2025

sedania
Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Azrin Mohd Noor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sedania Innovator Berhad (Sedania) mencatatkan pertumbuhan jumlah pendapatan 50 peratus tahun ke tahun kepada RM15.88 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 30 September 2024.

Menurut kenyataan, pertumbuhan signifikan itu didorong oleh prestasi kukuh dalam segmen barangan pengguna laris (FMCG) lestari syarikat yang disokong oleh inisiatif strategik dalam pertumbuhan jenama.

“Pertumbuhan pendapatan utama ini menunjukkan kejayaan strategi transformasi FMCG yang sedang dilaksanakan oleh SEDANIA.

“Pelaburan berterusan kumpulan dalam pembinaan jenama dan penempatan pasaran adalah penting untuk membina asas yang kukuh bagi kesedaran jenama jangka panjang yang mampan.

“Kami yakin dapat mencapai keuntungan positif bagi keseluruhan tahun kewangan 2025,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pertumbuhan pendapatan kumpulan yang kukuh mencerminkan nilai strategik inisiatif transformasi mereka.

“Bersama dengan strategi berterusan yang telah kami laksanakan untuk pertumbuhan mantap segmen Teknologi Pengguna Lestari dan Tenaga Lestari, dan ia adalah pemacu utama ke arah visi kami mencapai pendapatan sembilan digit dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi baharu yang dilantik, Tun Md Raus Sharif berkata, satu penghormatan bagi beliau untuk berkhidmat sebagai Pengerusi baharu Sedania Innovator Berhad semasa tempoh transformasi ini.

“Komitmen teguh kumpulan untuk ‘Memperbaiki Kehidupan Secara Lestari’ dan pertumbuhan, berserta model perniagaan inovatif, meletakkan kami pada kedudukan kukuh untuk memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham kami.

“Saya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Lembaga dan Pengurusan untuk mengemudi Sedania untuk mencapai matlamat dan cita-citanya yang tinggi,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Kumpulan.

Berdasarkan momentum kukuh daripada pertumbuhan pendapatan tahun ke tahun untuk suku ini, kumpulan itu akan terus meningkatkan pegangan pasaran dengan memanfaatkan peluang baharu di pasaran berpenduduk padat dan bermata wang tinggi.

Dengan usaha berterusan dalam inovasi produk dan pengembangan strategik, trajektori pendapatan dijangka kekal optimistik bagi sepanjang tahun kewangan ini.

Walaupun mengambil kira cabaran ekonomi dan keadaan kewangan kini, Sedania tetap optimis, namun berhati-hati dalam menyampaikan hasil positif bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 30 Jun 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya