PETALING JAYA – Pendapatan e-dagang bagi suku tahun ketiga 2024 mencecah RM300.5 bilion, mencerminkan peningkatan 3.8 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh kenaikan 4.3 peratus dalam sektor pembuatan.
“Pertumbuhan ini menekankan peranan e-dagang yang semakin berkembang dalam menyokong keluaran industri dan mendorong permintaan pengguna.
“Walaupun terdapat penurunan kecil sebanyak 0.6 peratus berbanding suku tahun sebelumnya, e-dagang kekal sebagai tonggak penting dalam landskap ekonomi Malaysia,” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan, sektor perkhidmatan Malaysia mencatatkan nilai RM618.5 bilion pada suku tahun ketiga 2024, mengekalkan ketahanan dan keupayaan ekonomi dalam keadaan yang menggalakkan.
Katanya, pertumbuhan sektor ini sebahagian besarnya disokong oleh lonjakan 25.3 peratus dalam pelancongan, didorong oleh acara seperti sambutan Hari Merdeka, Hari Malaysia, cuti persekolahan dan pilihan raya kecil negeri.
“Aktiviti utama seperti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan Penginapan mencatatkan peningkatan yang kukuh, manakala aktiviti hartanah, profesional, dan pengangkutan menunjukkan momentum peningkatan berterusan daripada suku sebelumnya.
“Perkembangan berterusan ini menunjukkan respons sektor ini terhadap permintaan bermusim serta kekuatan ekonomi yang meluas, membina asas yang kukuh untuk pertumbuhan selanjutnya pada suku akan datang,” katanya.-UTUSAN