PETALING JAYA: Parkwood Holdings Berhad, melalui anak syarikat milik penuhnya, Templars Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian membeli empat bidang tanah pegangan bebas seluas 12.45 hektar di Rawang, Selangor dengan harga RM27 juta.
Perjanjian itu susulan pengumuman kumpulan pada 25 Oktober 2024 membeli tanah seluas 0.61 hektar di Rawang dengan harga RM3.9 juta.
Menurut kenyataan, ia akan membangunkan kesemua lima bidang tanah di Rawang menjadi kawasan kediaman kontemporari yang menampilkan kehidupan moden dengan kemapanan dan hubungan komuniti.
“Pembelian itu sejajar dengan strategi pertumbuhan perniagaannya yang bertujuan untuk membangunkan komuniti terancang induk moden yang mengamal kehidupan mampan dan kebolehcapaian yang berfokuskan komuniti.
“Langkah itu akan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan perniagaan pembangunan hartanahnya,” katanya.
Parkwood Holdings berkata, kumpulan itu akan melancarkan pembangunan menjelang suku ketiga 2026.
Pengerusi Eksekutifnya, Lim Chin Sean berkata, pemerolehan baharu itu bukan sahaja meletakkan mereka untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pasaran hartanah kediaman berkualiti tinggi tetapi juga memanfaatkan persekitaran yang tenang dan peribadi Rawang.
“Kami optimis pembelian ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kami dan seterusnya memberikan pembangunan kediaman bandar darat yang menggabungkan kemudahan bandar dan gaya hidup tenang untuk penduduk dengan lancar,” katanya. – UTUSAN