Nilai kerja pembinaan meningkat kepada RM41.1 bilion pada suku ketiga - Utusan Malaysia

Nilai kerja pembinaan meningkat kepada RM41.1 bilion pada suku ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembinaan terus mengekalkan momentum pertumbuhan positif pada 22.9 peratus, mencapai RM41.1 bilion pada suku ketiga 2024, menurut laporan Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nilai kerja dalam sektor pembinaan itu mencatatkan pertumbuhan yang ketara sebanyak 22.9 peratus, meningkat daripada 20.2 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.

“Momentum pertumbuhan ini didorong, terutama oleh pengembangan sebanyak 42.6 peratus dalam subsektor Aktiviti pertukangan khas, yang terus menunjukkan pertumbuhan yang tinggi.

“Selain itu, subsektor bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman masing-masing turut menunjukkan momentum dengan peningkatan sebanyak 27.8 peratus dan 27.7 peratus.

“Sementara itu, subsektor kejuruteraan awam juga berkembang pada kadar yang lebih sederhana tetapi masih menyumbang secara positif dengan kadar pertumbuhan 12.0 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, sejumlah RM15.2 bilion atau 36.9 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam daripada keseluruhan nilai kerja itu.

“Ini terutamanya dalam aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api sebanyak RM6.8 bilion dan projek utiliti RM6.2 bilion.

“Sementara itu, nilai kerja bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing mencatatkan RM11.8 bilion (28.6 peratus) dan RM9.4 bilion (22.8 peratus).

“Aktiviti pertukangan khas pula menyumbang RM4.8 bilion (11.6 peratus), terutama dalam aktiviti penyediaan tapak (RM1.3 bilion), pemasangan elektrik (RM1.2 bilion) dan pemasangan paip, pemanasan dan penghawa dingin (RM1.0 bilion),” katanya.

Mohd. Uzir berkata, sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pada suku itu, menyumbang RM26.1 bilion atau 63.5 peratus daripada jumlah nilai keseluruhan.

“Sektor swasta mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 33.3 peratus berbanding 15.8 peratus pada suku kedua 2024, didorong oleh prestasi yang kukuh dalam subsektor kejuruteraan awam (54.9 peratus) dan aktiviti pertukangan khas (42.7 peratus).

“Sebaliknya, sektor awam, dengan sumbangan sebanyak 36.5 peratus berjumlah RM15.0 bilion, mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 8.1 peratus berbanding pada suku kedua iaitu 27.8 peratus.

“Pertumbuhan ini didorong oleh subsektor aktiviti pertukangan khas (42.2 peratus) dan bangunan bukan kediaman (36.6 peratus), dengan masing-masing berjumlah RM1.4 bilion dan RM2.5 bilion,” katanya.

Mengulas mengenai sektor pembinaan mengikut negeri pada suku ketiga, katanya, hampir 61.4 peratus daripada nilai kerja tertumpu di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) dan Sarawak.

“Nilai kerja pembinaan di Selangor berjumlah. RM9.3 bilion atau 22.7 peratus, disumbangkan oleh kejuruteraan awam (RM2.8 bilion), diikuti bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman masing-masing pada RM2.7 bilion.

“Sementara itu, Johor menduduki tempat kedua dengan nilai RM6.9 bilion atau 16.9 peratus, terutamanya dalam subsektor bangunan bukan kediaman (RM2.6 bilion) dan kejuruteraan awam (RM2.2 bilion).

“Tambahan pula, nilai kerja di Wilayah Persekutuan adalah RM4.6 bilion (11.3 peratus), manakala Sarawak mencatatkan RM4.3 bilion (10.5 peratus),” katanya.

Merumuskan prestasi nilai kerja pembinaan bagi tiga suku pertama tahun 2024, sektor itu mencatatkan jumlah nilai sebanyak RM116.8 bilion, dengan peningkatan sebanyak 19.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Pertumbuhan positif ini didorong, terutamanya oleh sumbangan kukuh daripada aktiviti kejuruteraan awam yang berkembang sebanyak 20.3 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya