JOHOR BAHRU: Peruncit perkakasan rumah, Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad melancarkan kedai utamanya, MR D.I.Y. PLUS di pusat beli-belah The Mall, Mid Valley Southkey, di sini semalam.
Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, kedai berkenaan mengguna pakai konsep permata dengan reka bentuk cermin, karya seni berlian merah delima dan corak geometri yang diinspirasikan daripada sejarah nama Johor, iaitu Jauhar.
Ujarnya, setiap sudut di kedai utama MR D.I.Y. PLUS itu bakal mencipta pengalaman bermakna kepada setiap pengunjung.
“Sebagai peruncit perkakasan rumah terbesar di Malaysia, kami komited membawa konsep segar yang menarik perhatian pelanggan. Tema permata adalah penghormatan kepada Johor sebagai sebuah negeri progresif dan dinamik.
“Perkembangan Johor Bahru yang pesat menjadikannya lokasi ideal untuk kedai utama ini. Kami berhasrat menjadi lebih daripada sekadar peruncit tetapi sebahagian daripada komuniti ini.
“MR D.I.Y PLUS di pusat beli-belah The Mall, Mid Valley Southkey menyediakan pengalaman membeli yang menarik, memenuhi keperluan harian, meraikan semangat Johor dan pastinya sentiasa menawarkan ‘Always Low Prices’,” katanya selepas majlis perrasmian premis berkenaan, semalam.
Alex berkata, kedai utama MR D.I.Y PLUS itu adalah premis ke-1,300 kumpulan berkenaan melibatkan keluasan 33,000 kaki persegi dan menawarkan lebih 17,000 produk jenama Kumpulan MR D.I.Y. iaitu MR D.I.Y.; MR. DOLLAR, MR. TOY dan EMTOP.
“Sebagai sebahagian sambutan pembukaan, pelbagai aktiviti telah disediakan dengan tawaran dan promosi menarik bermula hari ini hingga 24 November 2024,” katanya.
Jenama MR D.I.Y. dilancarkan pada 2005, diikuti MR TOY pada 2019, MR DOLLAR (2020), MR D.I.Y Express (2021) dan MR D.I.Y. PLUS (2022). – UTUSAN