MERCEDES-BENZ CLK suatu ketika dahulu adalah satu model yang cukup popular bagi pembuat kenderaan premium Stuttgart itu.
Sayangnya, selepas dua generasi, CLK mula dilupakan dan Mercedes-Benz bertindak untuk menggantikan model itu dengan C-Class Coupe, E-Class coupe dan juga S-Class Maybach Cabriolet.
Begitu hebatnya CLK hinggakan Mercedes-Benz memerlukan tiga model coupe untuk menggantikannya.
Namun begitu, pasaran untuk genre itu nyata semakin mengecil dan sekarang, untuk menggantikan model-model coupe 2-pintu dan cabriolet C-Class dan E-Class, Mercedes-Benz memperkenalkan satu nama baharu – CLE.
CLE ini mempunyai platform yang mirip kepada C-Class dan ini ialah sesuatu yang baik kerana jarak roda lebih panjang, memberikan lebih ruang kepada penumpang di belakang.
CLE ini juga mempunyai ruangan but yang 60 liter lebih besar daripada C-Class coupe lama.
Untuk varian yang dicuba oleh penulis, CLE 300 4Matic Coupe ini diberikan sentuhan Night Package di mana kemasan hitam diberikan di beberapa komponen luaran.
Roda aloi AMG 19-inci menghiasi setiap penjuru sementara roda belakang mampu membelok sebayak 2.5 darjah, demi memberikan pengendalian yang lebih stabil ketika mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi.
Enjin M256 2.0-liter turbo empat silinder menghasilkan 259PS dan 400 Nm, dan demi untuk memastikan ia efisien, sistem hibrid dengan bateri 48V EQ Boost memberikan tambahan 23PS dan 205Nm.
Transmisi ialah 9-kelajuan automatik dan halaju maksimum dibataskan ke 250 kilometer sejam (km/j). Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 6.2 saat.
Tolak ke tepi semua itu kerana untuk pembeli CLE, rupa paras dan keselesaan adalah jauh lebih penting daripada prestasi sebenarnya.
Reka bentuk CLE ini selari dengan model-model sporty Mercedes-Benz yang lain, dan paling penting, mencerminkan model-model ikonik jenama itu.
Cuma CLE ini tidak begitu agresif dari segi luaran, kerana mungkin sasaran pembelinya ialah dari mereka yang mahukan gaya eksekutif dan matang.
Ia tidak dilengkapi dengan sirip-sirip dan sayap-sayap seperti model GT mereka. CLE ini memang nampak “mewah”.
Cara pemanduannya juga lebih fokus kepada keselesaan, tetapi masih mempunyai ciri-ciri yang membuatkan pemandu terasa ia sebuah kenderaan sporty.
Bila dipaksa, CLE 300 ini ternyata lebih suka dipandu secara bersahaja.
Sistem stereng roda belakang memang membantu menjadikan ia terasa sebuah kenderaan yang lebih kompak tetapi hantaran tenaga dan nisbah transmisi bukan lebih ke arah pemanduan super agresif.
Sistem pacuan semua roda pada CLE ini juga menyebabkan ia terasa melekat di jalan raya, tetapi semua itu tidak mampu menyorok perangai sebenar coupe ini.
Ia adalah kereta sporty yang selesa untuk dipandu ke padang golf, ke kompleks membeli belah dan ke lobi hotel.
Rasanya tidak salah untuk aktiviti-aktiviti itu dijadikan fokus utama kerana realitinya, pengguna seperti jauh lebih ramai daripada mereka yang mahu memecut di setiap lampu merah dan di setiap selekoh tajam.
Spesifikasi
Mercedes-Benz CLE 300 4Matic Coupe
Enjin: M256 2.0L turbocharged 4-silinder
Kuasa maksimum: 259PS @ 5,800 rpm (enjin)
Daya kilas maksimum: 400Nm @ 2,000 – 3,200 rpm (enjin)
Kuasa maksimum motor elektrik: 23PS
Daya kilas maksimum motor elektrik: 205Nm
Transmisi: 9G-Tronic automatik 4Matic
Halaju maksimum: Terbatas pada 250 km/j
Harga: RM518,888 – UTUSAN