MBSB catat hasil RM2.8 bilion dalam sembilan bulan pertama 2024 - Utusan Malaysia

MBSB catat hasil RM2.8 bilion dalam sembilan bulan pertama 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Group mencatatkan hasil sebanyak RM2.8 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2024, melonjak 33 peratus berbanding RM2.1 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Kumpulan itu berkata, pertumbuhan tersebut didorong pendapatan dana dan pendapatan bukan dana, dengan pendapatan daripada dana mencecah RM1.1 bilion, meningkat RM298 juta daripada tahun sebelumnya disokong pendapatan pembiayaan serta pendapatan perbendaharaan yang lebih tinggi.

Sementara itu, pendapatan bukan dana menyaksikan peningkatan ketara kepada RM145 juta, meningkat daripada RM37 juta, disumbang penambahbaikan dalam perkhidmatan nasihat, pendapatan yuran, keuntungan pelaburan kewangan dan sumbangan daripada MIDF.

“MBSB mencapai margin keuntungan bersih yang lebih baik sebanyak 2.55 peratus berbanding 1.96 peratus pada suku yang sama tahun lepas, mempamerkan hasil berkesan kumpulan dan strategi pengurusan kos.

“Nisbah kos kepada pendapatan (CIR) bagi tempoh dalam tinjauan ialah 55.4 peratus, peningkatan berbanding 57.6 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan.

Keuntungan operasi praperuntukan kumpulan meningkat sebanyak 56 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada RM353 juta pada sembilan bulan pertama 2023 kepada RM552 juta pada tempoh ama 2024, dipacu hasil yang lebih baik dan pengurusan kos yang cekap.

Keuntungan selepas cukai meningkat kepada RM255 juta, peningkatan 34 peratus daripada RM191 juta pada tempoh sembilan bulan 2023, dengan prestasi cemerlang merentas semua segmen perniagaan.

Portfolio pembiayaan berkembang kepada RM43.1 bilion setakat September 2024, menandakan pertumbuhan 2.6% daripada RM42 bilion pada Disember 2023, didorong terutamanya pertumbuhan 9.8% dalam perniagaan gadai janji dan kenaikan 13.5 peratus dalam pembiayaan komersial.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Rafe Haneef berkata, keputusan kewangan kumpulan untuk suku ketiga 2024, yang mencerminkan kemajuan yang stabil.

Katanya, strategi FLIGHT26 sedang dibentuk, dan pihakya mula melihat bagaimana kerjasama antara MBSB Bank dan MIDF memperkukuh keupayaan kumpulan dalam membina kumpulan yang lebih berdaya tahan.

“Walaupun masih ada kerja yang perlu dilakukan, pertumbuhan dalam hasil dan keuntungan menunjukkan bahawa tumpuan kami untuk mengoptimumkan kunci kira-kira dan mengurus kos berada di landasan yang betul.

“Melangkah ke hadapan, kami menyasarkan untuk membina momentum ini, memastikan kami kekal dengan komitmen untuk menawarkan rumusan kewangan yang inovatif dan mengutamakan pelanggan sambil mengekalkan asas yang kukuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya