KUALA LUMPUR: Matrix Concepts Holdings Berhad, melalui anak syarikatnya, Matrix Concepts (Cheras) Sdn.Bhd., bekerjasama dengan WIT Ventures Sdn. Bhd. bagi memperkenalkan Kios Perkhidmatan Pintar empat bintang yang pertama, diintegrasikan dengan aplikasi mudah alih Horosys di Levia Residence, Cheras.
Pengurus Besar Pembangunan Hartanah Wilayah Tengah Matrix Concepts, Joshua Liew berkata, kios perkhidmatan pintar ini menawarkan kemudahan 24 jam dan pelbagai perkhidmatan yang peribadi serta mempunyai ciri keselamatan termasuk pengawalan akses dan pengurusan pelawat.
“Inovasi mendefinisikan semula kehidupan moden, menawarkan kemudahan yang tiada tandingan dan pengalaman gaya hidup premium seperti yang belum pernah terjadi sebelumnya.
“Penghuni akan menikmati integrasi yang lancar antara kios perkhidmatan pintar dan aplikasi mudah alih, meningkatkan kemudahan dan keselamatan.
“Sebagai contoh, pelawat boleh mengambil kad akses terus dari kios, membantu kemasukan yang selamat ke unit tertentu,” katanya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Matrix Concepts dan FIVE SENSES, di sini semalam.
Menurut beliau, penduduk dapat menikmati perkhidmatan seperti penyelenggaraan unit, perkhidmatan shuttle premium, cucian kering dan banyak lagi.
“Selain itu, aplikasi Horosys yang dilancarkan membolehkan penduduk menguruskan perkhidmatan dan keselamatan dari jauh, termasuk pendaftaran tetamu dan kawalan akses.
“Aplikasi ini menawarkan kemudahan dan keselamatan yang lebih tinggi untuk penduduk dan tetamu mereka,” katanya.
Joshua menambah, pihaknya juga berhasrat untuk menggunakan perkhidmatan kios pintar ini di hartanah kumpulan yang lain.
“Kami percaya bahawa memperkenalkan teknologi ini akan memajukan projek kami dengan menyediakan perkhidmatan pintar bagi memudahkan penduduk,” katanya.
Levia Residence, yang terletak di Cheras merupakan kondominium berketumpatan rendah yang menggabungkan keselesaan bandar dan gaya hidup sofistikated.
Projek pembangunan kondominium Levia Residence di Cheras oleh Matrix Concepts menerima sambutan menggalakkan daripada pembeli dengan merekodkan kadar pengambilan 85 peratus selepas prapelancarannya pada Oktober lalu.
Ia melibatkan Menara A yang terdiri daripada 389 unit meliputi empat jenis kediaman A hingga D dengan keluasan binaan antara 767 kaki persegi hingga 1,364 kaki persegi (71.2 hingga 126.7 meter persegi).
Ia turut menampilkan rangka kerja kelestarian GreenRE Silver dan penyelesaian keselamatan canggih.
Pembangunan ini mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM522 juta, dengan Menara B mencatatkan 55 peratus tempahan sejak diperkenalkan ke pasaran. – UTUSAN