Matrix Concepts catat untung RM67.4 juta suku kedua 2025 - Utusan Malaysia

Matrix Concepts catat untung RM67.4 juta suku kedua 2025

TIMBALAN Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock (kiri) dan Pengerusi Kumpulan Matrix Concepts, Mohamad Haslah (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad mencatatkan peningkatan 5.3 peratus dalam keuntungan bersih tahun-ke-tahun kepada RM67.4 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2025 didorong oleh permintaan yang kukuh, terutama daripada pembangunan Bandar Seri Sendayan.

Peningkatan itu disokong oleh kenaikan 10 peratus dalam jualan hartanah baharu yang mencapai RM341.7 juta pada suku kedua tahun kewangan 2025 serta peningkatan margin keuntungan kasar kumpulan kepada 49.8 peratus yang dibantu oleh campuran produk yang menguntungkan termasuk pembangunan hartanah industri.

Walaupun hasil kumpulan menurun 10.7 peratus berbanding tahun lalu kepada RM321 juta, akibat pengiktirafan hasil yang lebih rendah daripada pembangunan Sendayan, kumpulan mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam segmen-segmen lain seperti pendidikan dan hospitaliti, yang mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 46.2 peratus.

Selain itu, segmen penjagaan kesihatan juga memberikan sumbangan positif dengan hasil RM5.1 juta daripada Pusat Perubatan Mawar.

Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, syarikat terus mencatatkan pertumbuhan yang mampan dan nilai jangka panjang kepada pemegang saham syarikat disokong oleh keuntungan yang kukuh.

“Kami juga menikmati prestasi jualan yang menggalakkan pada separuh pertama tahun kewangan 2025 dan kekal di landasan yang betul untuk mencapai jualan hartanah sebanyak RM1.3 bilion pada tahun kewangan semasa.

“Ini selaras dengan tradisi kami dalam memberi ganjaran yang lumayan kepada pemegang saham selama lebih 10 tahun dan kami mengumumkan pengagihan dividen yang lebih tinggi sebanyak 10 peratus pada suku kedua 2025 berbanding tahun lalu sebagai mencerminkan prestasi kewangan yang kukuh dan keyakinan kami terhadap pertumbuhan berterusan.

“Kami terus mendiversifikasikan aliran pendapatan dan berkembang ke dalam sektor-sektor dengan potensi pertumbuhan tinggi seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan mampu milik,” katanya.

Jelasnya, melangkah ke hadapan, rekod prestasi yang kukuh dan saluran projek yang mantap memberi syarikat kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan yang akan datang.

“Kami akan terus merancang pelancaran projek secara strategik selaras dengan permintaan perumahan semasa mengukuhkan kehadiran kami di seluruh Negeri Sembilan, Lembah Klang dan Johor serta memanfaatkan jenama kuat kami untuk hartanah berkualiti tinggi pada harga yang mampu milik,” katanya.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, Matrix Concepts mencatatkan peningkatan 7.6 peratus dalam jualan hartanah baharu, yang mencecah RM663 juta, manakala hasil menurun 13.0 peratus kepada RM600.8 juta terutamanya disebabkan oleh masa pelancaran hartanah.

“Walau bagaimanapun, unit perniagaan lain kumpulan menunjukkan prestasi yang kukuh, dengan hasil daripada pendidikan dan hospitaliti meningkat 30.5 peratus,” katanya.

Matrix Concepts mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 2.75 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025 dengan tarikh ex-dividen pada 18 Disember 2024 dan tarikh pembayaran pada 9 Januari 2025.

Jumlah dividen separuh pertama tahun kewangan 2025 adalah 5.25 sen sesaham dengan jumlah pengagihan sebanyak RM65.7 juta atau 50.6 peratus daripada keuntungan selepas cukai (PAT) separuh pertama tahun kewangan 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya