Malaysia mampu capai KDNK 4.8 hingga 5.3 peratus tahun ini - Utusan Malaysia

Malaysia mampu capai KDNK 4.8 hingga 5.3 peratus tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia di asas yang kukuh untuk mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rasmi kerajaan sebanyak 4.8 hingga 5.3 peratus tahun ini, berbanding unjuran asal antara 4 dan 5 peratus, kata Menteri Kewangan.

Prestasi ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2024 berkembang sebanyak 5.3 peratus berbanding, suku kedua 2024, 5.9 peratus didorong permintaan domestik yang kekal berdaya tahan serta pemulihan berterusan prestasi sektor luar negeri.

Kadar pertumbuhan suku ketiga 2024 ini seiring dengan anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dilaporkan baru-baru ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Perdana Menteri berkata, prestasi menggalakkan pada KDNK pada suku ketiga 2024 itu mencambah kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi sembilan bulan pertama 2024 kepada 5.2 peratus, ketimbang 3.8 peratus pada tempoh sama tahun lalu,

Jelas beliau, pertumbuhan yang menjangkau 5 peratus pada sembilan bulan pertama 2024 mencerminkan keyakinan perniagaan dan rakyat terhadap ekonomi Malaysia serta pengurusan ekonomi Kerajaan.

“Kerajaan Madani bertekad memperhebat pelaksanaan agenda reformasi bagi memperkukuhkan tata kelola baik dan melaksanakan pembaharuan ekonomi seperti digariskan di bawah kerangka Ekonomi Madani.

“Tumpuan penuh kepada agenda reformasi dapat dilihat melalui Belanjawan 2025, apabila Kerajaan giat memperkukuh pengurusan fiskal melalui pengurangan defisit fiskal, peluasan asas hasil dan perbelanjaan berhemat melalui penyasaran subsidi petrol.

“Belanjawan 2025 mengimbangi antara keperluan tanggungjawab fiskal di samping terus melaksanakan belanjawan dan pelaburan awam yang mengembang, demi menyokong momentum pertumbuhan yang jitu bagi tahun mendatang,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Anwar, meski dunia ini masih penuh marcapada dan ketidaktentuan, asas ekonomi Malaysia kian kukuh saban masa.

“Malaysia yang kini berada pada landasan kukuh serta berkemampuan untuk melabuhkan tirai tahun 2024 dengan kadar pertumbuhan memberangsangkan, apakala kita giat menggerakkan agenda reformasi ekonomi bagi meningkatkan tahap kerencaman dan martabat ekonomi Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, walaupun kedudukan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka telah mendedahkan negara ini kepada tantangan-tantangan geopolitik serta ekonomi dunia yang penuh pergolakan, kerajaan Madani kekal optimistik akan unjuran ekonomi negara.

Beliau menekankan kerangka Ekonomi Madani telah membina dua landasan jelas untuk Malaysia melonjakkan nilainya dalam rantaian bekalan dunia serta menjayakan keterjaminan dan kemampanan ekonomi.

“Kerajaan yakin bahawasanya terdapat peluang keemasan di kala zaman penuh keberantakan ini. Malaysia yang kian membangkit ini berpijak di atas landasan baik untuk memanfaatkan fenomena peralihan kepada strategi Plus One (kepelbagaian operasi ke negara-negara lain seperti di Asia Tenggara) yang kian meningkat.

“Ikhtiar kerajaan untuk mengukuhkan serta memperbaharui kerjasama-kerjasama bilateral dan multilateral, sambil mengekalkan kedudukan berkecuali, bakal membuahkan hasil melalui lonjakan perdagangan serta perluasan pasaran eksport,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya