Malaysia beri tumpuan pembangunan teknologi semikonduktor, inovasi R&D AI - Utusan Malaysia

Malaysia beri tumpuan pembangunan teknologi semikonduktor, inovasi R&D AI

Liew Chin Tong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memberi tumpuan untuk mempertingkatkan teknologi dalam sektor semikonduktor serta memastikan Malaysia dapat menghasilkan reka bentuk litar bersepadu (IC), menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) cip kecerdasan buatan (AI), dan membangunkan aplikasi teknologi.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Liew Chin Tong berkata, ini adalah selaras dengan usaha untuk menarik syarikat-syarikat semi-konduktor ke Malaysia bagi menjalankan R&D dan inovasi dalam teknologi tersebut.

“Syarikat seperti Retox turut menunjukkan potensi besar dalam sektor ini. Selain menyediakan peralatan untuk sektor semikonduktor, Retox kini terlibat dalam R&D untuk pembangunan robot pertanian, yang bertujuan meningkatkan produktiviti dan efisiensi dalam sektor pertanian.

“Jadi, kerjasama jangka panjang amat penting dalam mencari bakat dan inovasi teknologi, terutamanya kerana cip semikonduktor kini menjadi komponen utama dalam pelbagai aspek kehidupan harian,” katanya kepada pemberita selepas Forum E&E Kebangsaan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) 2024 di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, sektor itu tidak terlepas daripada ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan China, yang berpotensi memberikan cabaran besar kepada negara pengeluar.

“Semikonduktor adalah antara sektor paling strategik dalam persaingan geopolitik antara AS dan China dan ketegangan ini akan mempengaruhi perniagaan global, termasuk Malaysia.

“Bagaimanapun, kita melihat peluang besar untuk negara memanfaatkan keadaan ini,” katanya.

Jelas beliau, Malaysia menyasarkan untuk melahirkan 10 syarikat teknologi tempatan yang mampu menjana pendapatan AS$1 bilion setiap tahun melalui Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini

“Dalam jangka panjang, hasratnya adalah untuk mempunyai 100 syarikat dengan teknologi Malaysia dengan pencapaian serupa.

“Kita bukan hanya mahu menjadi destinasi pelaburan luar. Melalui pelaburan ini, kita mahu membangunkan teknologi Malaysia. Jika dalam 10 tahun kita dapat membina syarikat setanding Samsung atau Huawei, itu adalah kejayaan besar,” katanya.

Selain itu, beliau menekankan pentingnya sokongan sektor awam dan swasta, termasuk institusi seperti Khazanah Nasional, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), dan syarikat swasta, dalam meningkatkan pelaburan R&D.

“Dulu, pendekatan kita bergantung kepada geran, tetapi kini kita perlu ada ‘skin in the game’ untuk menjayakan pelaburan ini,” katanya.

“Pelaburan dalam teknologi sangat penting kerana kelangsungan negara bergantung pada kemajuan teknologi yang dicapai dan teknologi semikonduktor perlu diperkuatkan,” katanya.

Tambahnya, dengan halatuju yang jelas, Malaysia berharap dapat mengimbangi dua arah pembangunan teknologi dalam menghasilkan teknologi yang lebih canggih dan maju, serta membangunkan aplikasi yang dapat menyelesaikan masalah harian dalam kehidupan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya