KUALA LUMPUR: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) melancarkan pakaian seragam baharu bertemakan ‘stail dan fesyen’ sempena sambutan sesi Malakoff Brand Experience 2024 menampilkan identiti korporat yang baharu.
Acara berkenaan, yang diadakan setahun selepas pelancaran identiti jenama baharu Malakoff pada Jun tahun lalu mengumpulkan semua anak syarikatnya, termasuk Alam Flora dan Alam Flora Environment Solutions (AFES), bertujuan mengukuhkan mesej kesatuan jenama serta penjajaran dalaman di seluruh organisasi.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin berkata, kejayaan penjenamaan semula sebelum ini merupakan satu kenyataan kepada dunia bahawa Malakoff lebih daripada sekadar pengeluar tenaga bebas terbesar di Malaysia.
“Kami teguh dengan komitmen untuk masa depan yang lebih hijau sambil memastikan keselamatan tenaga negara kekal kukuh.
“Setiap anak syarikat memainkan peranan penting dalam perjalanan ini dan bersama-sama, kami membentuk masa depan Malakoff sebagai kuasa bersepadu dan mampan dalam sektor tenaga,” katanya pada ucaptama majlis pelancaran tersebut Di Akademi Kecemerlangan Malakoff di sini semalam.
Turut hadir Ketua Penjenamaan dan Komunikasi Kumpulan, Suriati Mohammad Mokhtar.
Anwar menjelaskan, acara berkenaan juga merupakan peristiwa penting dalam perjalanan berterusan Malakoff terutamanya menjelang sambutan ulang tahunnya yang ke-50 tahun depan.
“Ini adalah peluang untuk menghidupkan jenama kami yang baharu, melibatkan diri dengannya dan berkongsi keseronokan tentang perkara yang akan datang,” katanya.
Malakoff ialah pengeluar tenaga bebas dan salah satu penyedia perkhidmatan alam sekitar terbesar di Malaysia. – UTUSAN