Life Water catat premium 18.5 peratus di Pasaran Utama Bursa Malaysia - Utusan Malaysia

Life Water catat premium 18.5 peratus di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Life Water Berhad (Life Water) memulakan penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad, dibuka pada harga tawaran awam (IPO) 77 sen, mewakili premium sebanyak 18.5 peratus berbanding harga terbitan 65 sen sesaham, dengan jumlah dagangan pembukaan sebanyak 15.9 juta saham.

Menurut kenyataan, syarikat itu berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM63.42 juta melalui penerbitan awam sebanyak 97,563,000 saham biasa baharu yang ditetapkan pada harga 65 sen sesaham.

“Daripada jumlah tersebut, Life Water memperuntukkan 30 peratus atau RM19 juta untuk membangunkan satu lagi talian pengeluaran air minuman di Kilang Sandakan Sibuga Plant 1.

“Sebanyak 18.9 peratus atau RM12 juta untuk membeli talian pengeluaran air minuman baharu di Kilang Sandakan Sibuga Plant 2, manakala 19.9 peratus atau RM12.6 juta akan digunakan untuk membangunkan pusat pengedaran kedua di Sandakan.

“Selain itu, sebanyak 15.2 peratus atau RM9.6 juta diperuntukkan untuk memperluaskan kemudahan pembungkusan plastik sedia ada di Kota Kinabalu.

“Baki hasil sebanyak 6.6 peratus dan 9.5 peratus iaitu RM4.2 juta dan RM6 juta, masing-masing, akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian” katanya.

Pengarah Urusan Life Water, Liaw Hen Kong berkata, kejayaan syarikat dibina atas penerimaan pasaran yang kukuh dan rangkaian pengedaran yang mantap, membolehkan mereka mencapai pelanggan yang luas di seluruh Sabah melalui ribuan kedai runcit, perkhidmatan makanan dan outlet hospitaliti.

“Keupayaan kami memenuhi permintaan secara konsisten menjadi kunci kepada kepimpinan pasaran, dengan mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) selama tiga tahun sebanyak 17.2 peratus dan meningkatkan jumlah pendapatan kami daripada RM103.5 juta pada 2021 kepada RM166.5 juta pada 2024.

“Memegang 11 peratus bahagian pasaran air botol di Malaysia, kami berbangga diiktiraf atas komitmen kami terhadap kualiti produk dan kecemerlangan operasi.

“Dengan lebih dua dekad kecemerlangan operasi, kami kekal komited mengembangkan kehadiran di Sabah dan seterusnya, menyampaikan aksesibiliti, kualiti, dan kemudahan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, Life Water memberi tumpuan untuk meningkatkan kapasiti dan memperluaskan kehadiran pasaran.

“Pelaburan strategik dalam talian pengeluaran baru dan pusat pengedaran tambahan, akan memperkukuhkan lagi rantaian bekalan kami dan memastikan akses produk yang lancar.

“Selain itu, pengembangan kemudahan pembungkusan kami akan menyokong permintaan pasaran yang semakin meningkat.

“Imi membolehkan kami berkembang dengan berkesan dalam mengejar peluang pertumbuhan di pasaran jiran seperti Sarawak dan Brunei, dengan membina kejayaan kami di Sabah untuk memacu peluasan yang mampan di seluruh rantau ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya