KWSP catat pendapatan pelaburan RM57.57 bilion

KWSP catat pendapatan pelaburan RM57.57 bilion dalam 9 bulan pertama 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan berjumlah RM57.57 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024, meningkat 20 peratus berbanding RM47.86 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2024, jumlah pendapatan pelaburan adalah RM19.67 bilion, meningkat sebanyak RM5 bilion daripada RM14.67 bilion yang dicatatkan pada suku sama 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata, prestasi kukuh KWSP adalah bukti kepada strategi pelaburannya yang merangkumi portfolio yang pelbagai merentasi kelas aset utama.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat dengan kukuh sebanyak 5.9 peratus tahun-ke-tahun pada suku kedua dan FBM KLCI ditutup pada 1,648 mata pada akhir suku ketiga, dengan pulangan sebanyak 13 peratus setakat tahun ini, di mana para pelabur terus optimis terhadap prestasi asas syarikat-syarikat Malaysia, dasar ekonomi Malaysia dan pembaharuan fiskal.

“Pasaran global secara amnya menunjukkan prestasi positif sepanjang suku tahun ini, didorong oleh permulaan kitaran pelonggaran kadar faedah apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada September.

“Pengurangan kadar faedah di AS yang dinantikan telah mendorong sentimen pasaran dan keuntungan merentasi pelbagai sektor, termasuk REIT, utiliti dan kewangan, yang semuanya memberi kesan positif kepada portfolio pelaburan KWSP.

“Pertumbuhan KDNK sebenar China dicatatkan pada 4.6 peratus tahun ke tahun, menurun sedikit daripada 4.7 peratus pada suku sebelumnya. Namun, risiko kekal dalam prospek global seperti trajektori dan kadar pengurangan kadar faedah, ketegangan geopolitik yang berterusan dan semakin meningkat terutama di Timur Tengah, serta potensi tarif import yang lebih tinggi ke AS dengan pemilihan Donald Trump minggu lalu,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Zulqarnain turut menyambut baik kelulusan Kerajaan untuk manambah baik program i-Saraan, yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024.

Peningkatan ini termasuk menaikkan insentif padanan daripada 15 peratus kepada 20 peratus, sehingga maksimum RM500 setahun dan had seumur hidup RM5,000 bagi setiap individu, yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Ini dapat mengukuhkan jaminan pendapatan persaraan rakyat Malaysia seperti yang ditekankan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

“Penambahbaikan program i-Saraan adalah selaras dengan matlamat KWSP untuk membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. Dengan meningkatkan insentif padanan, KWSP memperkukuh komitmennya untuk memupuk budaya menabung dan memperkasakan rakyat Malaysia, terutamanya bagi mereka yang bekerja dalam sektor informal dan gig, agar dapat menjamin masa depan kewangan mereka.

“Mandat dan strategi pelaburan KWSP dibangunkan untuk menyokong inisiatif ini, di samping terus menjana pulangan mampan yang memberi manfaat kepada ahli KWSP serta menyumbang kepada daya tahan ekonomi negara,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN