PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) telah mencapai Tahap 1 Pemetaan dalam Pengakreditan Karbon Lapangan Terbang (ACA) oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).
ACI telah mengiktiraf komitmen mereka terhadap pengurusan karbon dan kelestarian alam sekitar.
Kedua-dua lapangan terbang itu kini menyertai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lebih 600 lapangan terbang lain di seluruh dunia dalam usaha ke arah pelepasan karbon sifar bersih.
Ini melalui program tujuh tahap komprehensif ACI, yang menggalakkan tindakan kolektif untuk pengurangan karbon dan perubahan iklim,” katanya.
KLIA, yang telah diakreditasi sejak 2015, kini berada pada Tahap 3 Pengoptimuman, mencerminkan usaha berterusan dalam pengurusan karbon dan kelestarian.
Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, kelestarian adalah tema strategik utama untuk Malaysia Airports, yang menjadi panduan kepada visi jangka panjang dan amalan operasi organisasi tersebut.
“Mencapai Pengakreditan Karbon Lapangan Terbang (ACA) untuk KKIA dan LIA membuktikan komitmen teguh kami terhadap kecemerlangan alam sekitar dan kepimpinan dalam membina sektor penerbangan yang lebih hijau di Malaysia.
“Kami sedang giat berusaha untuk mendapatkan pensijilan bagi Lapangan Terbang Pulau Pinang (PEN) dan Kuching (KCH), dengan matlamat akhir membawa pengiktirafan ACA ke seluruh rangkaian lapangan terbang kami.
“Dengan menjadi sebahagian daripada lapangan terbang yang diakreditasi ACA, kami mampu menerajui dan menetapkan piawaian global dalam operasi lapangan terbang yang mampan.
“Melalui inisiatif seperti kecekapan tenaga, pengurusan sisa yang canggih, dan penglibatan komuniti, kami berusaha untuk meminimumkan kesan alam sekitar sambil meningkatkan kesedaran tentang peranan penting kelestarian dalam pengurusan lapangan terbang,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, setiap lapangan terbang yang diakreditasi membawa kami lebih dekat kepada matlamat masa depan rendah karbon, memastikan tindakan kami hari ini menyokong legasi lestari untuk generasi akan datang.
Program ACA ialah inisiatif global yang diterajui oleh ACI untuk membantu lapangan terbang mengurus dan mengurangkan pelepasan karbon.
Program itu menyediakan kerangka kerja berstruktur untuk membimbing lapangan terbang daripada pemetaan karbon asas sehingga mencapai pelepasan sifar bersih melalui tujuh tahap pensijilan.
Ia meliputi Pemetaan, Pengurangan, Pengoptimuman, Neutraliti, Transformasi, Peralihan, dan mengekalkan keseimbangan Sifar Bersih untuk Skop 1 dan 2 sambil menangani pelepasan Skop 3 secara aktif.
Menurut kenyataan, dengan pencapaian Tahap 1, KKIA dan LIA telah komited untuk menjalankan analisis komprehensif pelepasan CO2 mereka dan mewujudkan pelan berstruktur untuk pengurangannya.
“Ini merupakan langkah pertama yang penting dalam perjalanan lapangan terbang ke arah penyahkarbonan.
“KKIA mencatatkan sejumlah 6.6 juta pergerakan penumpang setakat tahun ini (YTD), peningkatan 13 peratus berbanding 5.9 juta penumpang dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“Lapangan terbang ini telah berjaya memasang panel solar dengan kapasiti keseluruhan 3.8 megawatt (MW) dan memperkenalkan Sistem Pengurusan Tenaga untuk meningkatkan kecekapan tenaga di seluruh operasinya,” katanya.
Sementara itu, jelasnya, LIA, dengan 2.1 juta penumpang YTD, kini beroperasi menggunakan panel solar dengan kapasiti keseluruhan 1.1 MW.
“Tambahan pula, Lampu Landasan (Airfield Ground Lighting, AGL) telah dinaik taraf daripada mentol halogen kepada lampu LED cekap tenaga, yang mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 90 peratus.
“Pada Oktober 2024, Malaysia Airports mencatatkan sejumlah 7.7 juta pergerakan penumpang di seluruh rangkaian lapangan terbang di Malaysia, termasuk 4.1 juta penumpang domestik dan 3.6 juta penumpang antarabangsa, mencerminkan permintaan perjalanan udara yang stabil.
“Bulan lalu menyaksikan pelancaran beberapa laluan antarabangsa baharu, termasuk laluan PEN ke Jakarta dengan Batik Air Malaysia (tujuh penerbangan mingguan), PEN ke Shenzhen dengan Air Asia (empat penerbangan mingguan), KLIA ke Amritsar dengan Air Asia (empat penerbangan mingguan), dan Melaka ke Singapura dengan Scoot (lima penerbangan mingguan).
“Di sektor domestik, Batik Air Malaysia melancarkan perkhidmatan baharu dari Subang ke Kota Bharu, yang beroperasi tujuh kali seminggu,” katanya.
Tambahnya, jumlah keseluruhan penumpang bagi Oktober 2024, termasuk aset Turki Malaysia Airports, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISGA), mencapai 11.2 juta.
“Di ISGA, trafik penumpang mencatatkan jumlah 3.5 juta, dengan penumpang antarabangsa menyumbang 1.9 juta, manakala penumpang domestik mencatatkan 1.6 juta,” katanya. – UTUSAN