Konsortium kemuka tawaran pengambilalihan MAHB pada RM11 sesaham - Utusan Malaysia

Konsortium kemuka tawaran pengambilalihan MAHB pada RM11 sesaham

klia2
KONSORTIUM Gateway Development Alliance (GDA) mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi semua saham Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) yang masih belum dimiliki dengan harga tawaran RM11 sesaham. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konsortium Gateway Development Alliance (GDA) mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi semua saham Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) yang masih belum dimiliki dengan harga tawaran RM11 sesaham.

Konsortium yang diterajui UEM Group Berhad iaitu anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad dan Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat induk mereka secara agregat memiliki 41.1 peratus saham MAНВ.

Menurut kenyataan, harga tawaran itu mencerminkan nilai ekuiti berjumlah RM18.4 bilion bagi MAHB, yang menandakan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 37.7 kali bagi pendapatan setiap saham yang disatukan dan diaudit MAHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

“Tawaran ini juga mewakili premium pada kadar 49.5 peratus setakat tahun semasa (YTD), berdasarkan kepada harga penutup RM7.36 setiap saham pada 29 Disember 2023.

“Ini adalah berbanding dengan prestasi YTD indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI yang mencapai 10.0 peratus sehingga 14 November 2024, hari dagangan terakhir sebelum tarikh Notis Tawaran Pengambilalihan Sukarela Bersyarat.

“Penerimaan sepenuhnya tawaran ini akan menyaksikan pegangan UEM Group di dalam MAHB meningkat daripada 32.99 peratus kepada 40 peratus, dan pegangan KWSP pula meningkat daripada 7.86 peratus kepada 30 peratus.

“Ini bermakna para pelabur Malaysia secara bersama akan memiliki 70 peratus pegangan di dalam MAHB, manakala baki 30 peratus pegangan pula akan dimiliki Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP), antara pelabur infrastruktur terkemuka dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang,” katanya.

Jelasnya, kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khasnya dalam MAHB dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan MAHB akan terus dilantik dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kesemua 39 lapangan terbang di Malaysia yang dikendalikan oleh MAHB akan terus dimiliki oleh kerajaan, seperti termaktub di bawah perjanjian pengoperasian yang ditandatangani MAHB.

“Pengoperasian ini akan terus diawasi oleh pelbagai agensi kerajaan, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dan Polis Diraja Malaysia.

“Konsortium berhasrat untuk meletakkan MAHB di landasan terbaik bagi pertumbuhan mampan jangka masa panjang,” katanya.

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada penyelenggaraan dan usaha menaiktaraf infrastruktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambah baik keterhubungan syarikat penerbangan yang akan meningkatkan pertumbuhan trafik.

“Ini sekali gus akan memberikan manfaat ekonomi berpanjangan kepada MAHB dan para pemegang taruhnya, serta sektor ekonomi utama di Malaysia dan Turkiye.

“Konsortium juga yakin bahawa matlamat ini dapat dicapai dengan lebih berkesan jika MAHB beroperasi sebagai sebuah entiti swasta, yang dapat mengutamakan keputusan dan pelaburan jangka panjang sambil memanfaatkan kepakaran teknikal antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, konsortium juga ingin menegaskan bahawa tidak ada rancangan untuk memberhentikan pekerja dan hak sedia ada kakitangan MAHB akan terus dilindungi susulan tawaran itu.

Tawaran itu tertakluk kepada syarat penerimaan sahih, di mana konsortium perlu memiliki sekurang-kurangnya 90 peratus saham MAHB yang diterbitkan pada atau sebelum penutupan tawaran ini.

Dokumen tawaran dan borang penerimaan serta pemindahan akan dihantar kepada para pemegang saham MAHB pada masa yang sesuai.

Selepas tawaran itu diumumkan pada tengah hari semalam, saham MAHB naik 32 sen kepada RM10.60 sesaham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya