PETALING JAYA: Belanjawan 2025 baru-baru ini dilihat sebagai inisiatif kerajaan untuk mengimbangi keperluan fiskal negara dan kesejahteraan rakyat, terutamanya melalui pengecualian cukai jualan ke atas barangan makanan asas.
Langkah ini, bersama subsidi petrol bernilai RM12 bilion, mencerminkan komitmen kerajaan dalam meringankan beban 85 peratus rakyat Malaysia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan Belanjawan 2025 sebagai pendekatan pragmatik dan holistik dalam menangani kos sara hidup sambil memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.
“Ini bertujuan untuk melindungi rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, daripada kenaikan kos sara hidup.
“Langkah pengecualian cukai jualan diambil untuk memastikan kos sara hidup rakyat terkawal, meskipun harga makanan asas meningkat,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, inisiatif itu seiring dengan usaha kerajaan mengukuhkan kedudukan kewangan negara, mengurangkan hutang, dan membuka peluang bagi pelaburan strategik dalam sektor produktif seperti pendidikan, kesihatan, dan infrastruktur.
Dari segi kuasa beli pula, beliau menegaskan bahawa pengecualian cukai ke atas makanan asas membantu rakyat mengekalkan daya beli mereka, memandangkan barangan ini menyumbang hampir 30 peratus kepada Indeks Harga Pengguna (CPI).
“Dengan pengecualian cukai, harga makanan asas dapat distabilkan, ia memberi ruang kepada rakyat berpendapatan rendah untuk membelanjakan wang mereka dengan lebih bijak.
“Subsidi RM12 bilion yang meliputi bahan api, padi, baja, dan barangan penting lain juga diharapkan mampu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
“Harga barangan bersubsidi ini dikawal di bawah harga pasaran, yang memberi penjimatan untuk perbelanjaan lain yang lebih penting dalam kehidupan harian mereka,” katanya.
Afzanizam berkata, selain subsidi, bantuan kewangan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan awal persekolahan dijangka mampu merangsang perbelanjaan pengguna, yang kini menyumbang kira-kira 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ini secara langsung memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi dan hasil jualan peniaga tempatan yang turut merasai manfaat peningkatan perbelanjaan domestik,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, keputusan kerajaan itu sangat membantu sebahagian besar rakyat Malaysia, terutamanya setelah cukai dinaikkan dari dua peratus kepada lapan peratus bagi kebanyakan barangan lain.
“Pengecualian ini mengurangkan tekanan ke atas rakyat yang sedang menghadapi kenaikan kos sara hidup.
“Keputusan ini juga membantu mengekalkan kadar inflasi teras pada 1.9 peratus, yang berada di bawah unjuran awal kerajaan antara 2.0 hingga 3.5 peratus. Pelaksanaan subsidi bersasar diesel pada Jun lalu juga tidak memberi kesan besar kepada kadar inflasi semasa.
“Keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan cukai jualan memberikan nafas kelegaan kepada rakyat, di mana kuasa beli mereka tidak mengalami penurunan mendadak,” katanya. – UTUSAN