Inflasi meningkat 1.9 peratus pada Oktober 2024

Inflasi meningkat 1.9 peratus pada Oktober 2024

PURATA harga ayam standard Malaysia pada Oktober 2024 adalah RM10.63 sekilogram berbanding RM10.02 sekilogram pada Oktober 2023.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Oktober 2024 dengan mata indeks mencatatkan 133.4 berbanding 130.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Peningkatan inflasi pada Oktober didorong oleh peningkatan lebih tinggi bagi kumpulan utama makanan dan minuman (2.3 peratus) dan penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.4 peratus). 

Sementara itu, restoran dan perkhidmatan penginapan (2.8 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan (2.0 peratus); kesihatan (1.4 peratus); pengangkutan (0.7 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.5 peratus) meningkat pada kadar perlahan. 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi maklumat dan komunikasi menurun kepada negatif 1.7 peratus pada Oktober 2024 (September 2024: 0.4 peratus). 

Katanya, ini disebabkan oleh penurunan inflasi subkumpulan utama perkhidmatan maklumat dan komunikasi pada negatif 1.8 peratus (September 2024: 0.8 peratus). pakaian dan kasut kekal berada dalam jajaran negatif iaitu negatif 0.2 peratus. 

“Sementara itu, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.1 peratus); pendidikan (1.5 peratus); minuman, alkohol dan tembakau (0.8 peratus) serta insurans dan perkhidmatan kewangan (0.5 peratus) meningkat pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya.

“Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 2.3 peratus pada Oktober 2024 (September 2024: 1.6 peratus). 

“Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.6 peratus (September 2024: 0.4 peratus) terutamanya disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan daging yang merekodkan peningkatan sebanyak 1.4 peratus (September 2024: 0.7 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan pengumpulan data oleh pihak DOSM, beliau berkata, purata harga ayam standard Malaysia pada Oktober 2024 adalah RM10.63 sekilogram berbanding RM10.02 sekilogram pada Oktober 2023 (September 2024: RM10.47). 

Sementara itu, purata harga ayam standard di peringkat Semenanjung Malaysia pada Oktober 2024 adalah RM9.68 sekilogram berbanding RM9.32 sekilogram pada Oktober 2023 (September 2024: RM9.38).

Mohd Uzir Mahidin berkata, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.9 peratus. 

“Walau bagaimanapun, inflasi bagi empat negeri meningkat melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.1 peratus), Pahang (2.7 peratus), Selangor (2.3 peratus) dan Sarawak (2.1 peratus). 

“Kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi makanan dan minuman. Kadar tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 3.8 peratus, diikuti oleh Putrajaya (2.9 peratus), Johor (2.4 peratus), Pulau Pinang (2.4 peratus) dan Pahang (2.3 peratus). 

“Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman nasional iaitu 2.3 peratus pada Oktober 2024,” ujarnya.

Tambahnya, inflasi keseluruhan secara bulanan pada Oktober 2024 meningkat 0.2 peratus berbanding September 2024.

Dalam pada itu, katanya, inflasi teras meningkat dengan kadar yang sama pada 1.8 peratus pada Oktober 2024 berbanding September 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya