PETALING JAYA: Iconic Worldwide Berhad (Iconic Worldwide) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.92 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2025 berakhir 30 September 2024, berbanding kerugian bersih RM5.81 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan bagi suku pertama meningkat 61.53 peratus kepada RM12.32 juta.
Prestasi yang memberangsangkan ini didorong terutamanya oleh permintaan kukuh terhadap Iconic Harmony, projek pembangunan bercampur bertingkat tinggi baharu kumpulan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Dilancarkan pada April 2024, Iconic Harmony merangkumi 751 unit kediaman dan 16 unit kedai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM270 juta.
Projek itu mencatat kejayaan cemerlang dengan kadar pengambilan 70 peratus dalam tempoh dua haripelancaran awal.
Segmen pembangunan hartanah kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM1.38 juta, berbanding kerugian bersih RM0.3 juta tahun lalu.
Selain itu, segmen pembuatan turut menunjukkan pemulihan dengan keuntungan bersih RM0.61 juta, berbanding kerugian bersih RM7.97 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Sebagai perbandingan, segmen pembuatan telah melaporkan kerugian bersih sebanyak RM7.97 juta dalam tempoh kewangan yang sama tahun lalu.
Pengerusi Eksekutif Iconic Worldwide, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, pemulihan kumpulan didorong oleh permintaan pasaran yang kukuh untuk Iconic Harmony serta keuntungan segmen pembuatan syarikat.
“Kejayaan Iconic Harmony membuktikan pengiktirafan pasaran terhadap kekuatan dan keupayaan kami sebagai pemaju hartanah dan menetapkan asas untuk pencapaian yang lebih besar pada masa hadapan.
“Dalam segmen pembuatan, kami telah menghentikan barisan produk yang mengalami kerugian seperti barisan pengeluaran sarung tangan kami.
“Kami kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembuatan produk yang menguntungkan seperti lampin. Keputusan ini telah membuahkan hasil dan kami menjangkakan segmen ini akan terus menguntungkan pada masa hadapan,” katanya.
Di samping itu, pihaknya akan memajakkan kilang yang lebih besar daripada dua kilang milik syarikat kepada pihak luar mewujudkan aliran pendapatan baharu melalui pendapatan sewa untuk kumpulan.
“Kami menyasarkan untuk mendapatkan penyewa untuk kilang ini menjelang suku pertama tahun 2025,” ujarnya.-UTUSAN