PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh melebihi RM4,750 pada November, disokong oleh ketidaktentuan bekalan eksport dan kenaikan harga minyak perlahan, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Menurut kenyataannya, walaupun harga minyak sayuran yang kukuh disokong oleh asasnya, terdapat beberapa faktor yang boleh mewujudkan sentimen lemah untuk kacang soya dan minyak kacang soya, yang berpotensi menjejaskan rali harga.
Katanya, ini termasuk pasaran tenaga yang lemah, keadaan penanaman kacang soya yang bertambah baik di Amerika Selatan dan ketidakpastian terhadap dasar biofuel Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump.
“Dinamik semasa harga minyak sawit sebahagian besarnya didorong oleh jangkaan kekangan eksport di Indonesia untuk tahun 2025.
“Kedua-dua Malaysia dan Indonesia diramalkan akan berakhir pada 2024 dengan stok yang rendah dan pengeluaran dijangka kekal tidak berubah pada 2025.
“Akibatnya, pengimport utama meningkatkan import mereka dalam tempoh terdekat menjelang pelaksanaan B40 Indonesia pada Januari 2025,” katanya.
MPOC berkata, permintaan minyak sawit dijangka kekal stabil pada November walaupun harga meningkat, didorong oleh sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan akan datang.
Selain itu, MPOC berkata, larangan eksport Thailand baru-baru ini terhadap eksport MSM sehingga 2025 telah mengetatkan lagi bekalan.
“Pada 2023, India mengimport kira-kira 800,000 tan MSM dari Thailand dan kini perlu mendapatkan sumber import ini dari Malaysia dan Indonesia untuk baki tahun 2024.
“Di Eropah, harga minyak sayuran melonjak pada bulan Oktober, dengan minyak bunga matahari mendahului dengan peningkatan 12 peratus dari September.
“Minyak sawit diikuti rapat dengan peningkatan sembilan peratus, manakala minyak biji sesawi dan minyak kacang soya masing-masing meningkat sebanyak tujuh peratus dan tiga peratus,” ujarnya.
Walaupun kenaikan harga minyak kacang soya ketinggalan, MPOC berkata, ia masih mencecah paras tertinggi 11 bulan, manakala minyak bunga matahari mencecah paras tertinggi dalam 22 bulan.
“Trend ini telah mengecilkan premium harga minyak sawit berbanding minyak bunga matahari,” tambahnya.
MPOC memberitahu, pengeluaran minyak sawit Malaysia mula merosot pada Oktober, berikutan pertumbuhan kukuh dalam tempoh lapan bulan pertama tahun itu dengan output jatuh sebanyak 1.35 peratus bulan ke bulan dan 7.2 peratus tahun ke tahun, berjumlah 1.79 juta tan.
“Sementara itu, eksport minyak sawit melonjak ke paras tertinggi empat tahun sebanyak 1.73 juta tan, menghampiri rekod 1.78 juta tan metrik yang dicatatkan pada Julai 2020.
“Digabungkan dengan penggunaan domestik, jumlah permintaan pada Oktober mencapai 1.94 juta tan, melebihi pengeluaran sebanyak 210,000 tan dan mengakibatkan defisit bekalan,” jelasnya. – UTUSAN