PETALING JAYA: Hanya 14 peratus organisasi di Malaysia bersedia sepenuhnya untuk menggunakan dan memanfaatkan teknologi berkuasa kecerdasan buatan (AI) berbanding 13 peratus setahun yang lalu, menurut Indeks Kesediaan AI Cisco 2024.
Cisco, peneraju dunia dalam rangkaian dan keselamatan berkata, ia menunjukkan cabaran yang dihadapi syarikat dalam menerima pakai, menggunakan dan memanfaatkan sepenuhnya AI.
Indeks Kesediaan AI Cisco 2024 dalam satu kenyataan berkata, memandangkan evolusi pasaran yang pesat dan impak AI yang ketara dijangkakan terhadap operasi perniagaan, jurang kesediaan itu amat kritikal.
Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja berkata, apabila syarikat mempercepatkan perjalanan AI, adalah penting mereka menggunakan pendekatan yang komprehensif untuk pelaksanaan dan sambungkan titik untuk menghubungkan cita-cita AI dengan kesediaan.
Beliau berkata, Indeks Kesediaan AI tahun ini mendedahkan bahawa untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi AI, syarikat memerlukan infrastruktur digital moden yang mampu memenuhi keperluan kuasa yang berkembang dan keperluan kependaman rangkaian daripada pertumbuhan beban kerja AI.
“Ini mesti disokong dengan keterlihatan yang betul untuk mencapai objektif perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Cisco berkata, sebanyak 98 peratus syarikat di Malaysia melaporkan peningkatan keperluan mendesak untuk menggunakan AI pada tahun lalu, didorong terutamanya oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan pasukan kepimpinan.
Selain itu, Hana berkata, syarikat memberikan sejumlah besar sumber terhadap AI, dengan 55 peratus melaporkan bahawa sebanyak 10 peratus hingga 30 peratus daripada belanjawan teknologi maklumat (IT) mereka diperuntukkan kepada penempatan AI.
Katanya, walaupun pelaburan AI yang ketara dalam bidang strategik seperti keselamatan siber, infrastruktur IT dan analisis dan pengurusan data, banyak syarikat melaporkan bahawa pulangan ke atas pelaburan itu tidak memenuhi jangkaan mereka.
“Indeks Kesediaan AI Cisco 2024 berdasarkan tinjauan membabitkan 3,660 pemimpin kanan perniagaan daripada organisasi yang mempunyai 500 atau lebih pekerja di 14 pasaran di Asia Pasifik, Jepun dan China (APJC).
“Pemimpin itu bertanggungjawab untuk penyepaduan dan penempatan AI dalam organisasi mereka,” katanya.
Indeks kesediaan AI diukur merentas enam tonggak iaitu strategi, infrastruktur, data, tadbir urus, bakat dan budaya. – UTUSAN