TAPAH: FGV Holdings Berhad (FGV) terus memperkukuh kerjasama dengan pekebun kecil yang terlibat dalam Ekonomi Sawit Pekebun (ESP) bagi memajukan kelestarian industri sawit Malaysia.
Meskipun pelbagai cabaran dihadapi, terutama dalam memenuhi piawaian antarabangsa, FGV tetap komited membantu pekebun kecil memahami dan menyesuaikan diri dengan standard pensijilan yang diperlukan.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan FGV, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim berkata, pentingnya kerjasama dengan pekebun kecil kerana permintaan pasaran global yang semakin menekankan pematuhan terhadap kelestarian.
“Kami ingin pekebun kecil memahami sebab di sebalik peraturan yang ketat ini, supaya mereka dapat meraih manfaat daripada pensijilan serta akses kepada pasaran premium.
“Namun, proses untuk mencapai pensijilan seperti Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) memerlukan waktu dan usaha.
“Ramai pekebun kecil pada awalnya agak sukar untuk memahami kepentingan dokumentasi seperti geran tanah dan peta yang perlu disediakan untuk memastikan buah berasal dari kawasan yang sah, bukan kawasan terlindung,” katanya pada sidang media sempena Program Pengenalan Media: Perjalanan Melalui Kelestarian Bersama FGV, dekat sini, semalam.
Jelas beliau, FGV telah mengadakan sesi perbincangan dan bengkel di seluruh negara bagi membantu pekebun kecil memahami keperluan itu.
“Melalui program ini, pekebun kecil mula memahami kepentingan pensijilan dan dokumentasi. Walaupun mencabar untuk menarik mereka menghadiri program seperti ini, maklum balas yang diterima sangat positif dan menunjukkan peningkatan kesedaran.
“Bagi pekebun kecil, pematuhan kepada MSPO dan pensijilan antarabangsa membuka peluang kepada harga premium di pasaran global.
“Pekebun yang memenuhi piawaian kelestarian boleh mendapat harga lebih tinggi, manakala mereka yang belum bersedia masih boleh menjual hasil mereka melalui FGV ke pasaran alternatif. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami untuk menyokong ekonomi pekebun kecil,” jelasnya.
Nurul Hasanah berkata bahawa agenda kelestarian FGV yang bermula sejak 2015 melalui MSPO, merangkumi aspek perlindungan alam sekitar dan hak pekerja.
“Sebagai contoh, pelepasan air sisa dari operasi kilang sentiasa dipantau untuk memenuhi standard Jabatan Alam Sekitar (DOE), termasuk kawalan paras BOD untuk melindungi sungai daripada pencemaran.
“Ini begitu juga dengan pelepasan asap dipantau secara dalam talian agar selaras dengan peraturan DOE, sekali gus memastikan operasi FGV tidak membahayakan alam sekitar,” katanya.
Menurutnya, FGV sudah melabur hampir RM1 bilion untuk memperbaiki keadaan buruh dan persekitaran tempat tinggal pekerja.-UTUSAN