E&O lancar pelan pembangunan Pulau Andaman dengan GDV RM60b - Utusan Malaysia

E&O lancar pelan pembangunan Pulau Andaman dengan GDV RM60b

PELAN induk pembangunan Pulau Andaman oleh pemaju hartanah Eastern & Oriental Berhad (E&O) yang bernilai RM60 bilion.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pemaju hartanah, Eastern & Oriental Berhad (E&O) melancarkan pelan induknya untuk Pulau Andaman, pembangunan berskala besar pertama yang seumpamanya di Malaysia dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM60 bilion.

Pelan induk ini mencerminkan visi lebih dari 30 tahun untuk mewujudkan perbandaran pulau yang rancak dan mesra alam, bagi menyelaraskan warisan Pulau Pinang dengan reka bentuk bandar yang sedia untuk masa depan.

Pengarah Urusan Kumpulan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, Pulau Andaman milik E&O secara strategiknya berposisi untuk memenuhi permintaan hartanah di Pulau Pinang dengan penawaran ruang kediaman premium dalam persekitaran bandar holistik yang mengimbangi aksesibiliti, kelestarian dan kualiti hidup.

“Ia juga berperanan sebagai asas kepada strategi pertumbuhan jangka panjang E&O, menandakan komitmen kumpulan terhadap piawaian antarabangsa dalam pembangunan mesra alam.

“Teras kepada pelan induk Pulau Andaman adalah tiga daerah yang unik iaitu Shoreline, Gurney Green, dan Canalside, masing-masing menawarkan pengalaman gaya hidup yang berbeza,” katanya ketika ditemui di Galeri Jualan E&O di Pulau Andaman di sini, kelmarin.

Shoreline menggabungkan kehidupan tenang yang berintegrasi dengan alam semula jadi, Gurney Green berfungsi sebagai hab komersial yang rancak dan Canalside mengintegrasikan kemudahan berorientasikan komuniti dengan akses tepi air yang indah.

Pelan induk Pulau Andaman merupakan rangka tindak kehidupan yang lestari dan didorong masyarakat, melangkaui model-model pembangunan tradisional bagi pembayangan semula gaya hidup di pulau (island living).

Perbandaran seluas 307.56 hektar melibatkan dua fasa iaitu fasa satu seluas 102.38 hektar dan fasa dua 205.17 hektar.

Tuck Cheong berkata, sambutan terhadap Pulau Andaman adalah amat memberangsangkan, dengan pembangunan bertingkat tinggi The Meg dan Arica serta pembangunan hartanah Fera dan Senna fasa 1 dan 2 habis dijual sepenuhnya.

Katanya, secara keseluruhan, E&O telah melancarkan projek-projek dengan jumlah GDV sebanyak RM1.36 bilion.

“Baru-baru ini, The Lume, sebuah pembangunan kondominium premium, telah mencapai lebih 42 peratus jualan selepas pelancarannya pada Ogos tahun ini dan dengan itu menggambarkan permintaan tinggi terhadap persekitaran lestari dan berorientasikan gaya hidup di pulau ini.

“Tiga projek pertama yang kami lancarkan tempoh dua tahun setengah ini menerima pembeli daripada mereka yang tinggal di koridor utara seperti Pulau Pinang, Kedah dan Perak meliputi lebih 90 peratus, sekali gus menandakan permintaan yang tinggi terhadap hartanah ini.

“Oleh itu, pembeli dari luar negara adalah minimum pada ketika ini. Walau bagaimanapun, memandang ke hadapan dengan lebih banyak projek pembangunan yang akan dilancarkan mungkin akan ada pembeli luar negara yang akan tinggal di sini,” jelasnya.

Dibayangkan sebagai komuniti inovatif dipandu oleh prinsip ‘bandar 15 minit’, konsep ini memastikan penduduk mempunyai akses mudah ke kawasan membeli-belah, tempat makan, kesihatan, dan rekreasi dalam jarak berjalan kaki atau berbasikal serta mempromosikan gaya hidup yang menekankan keseimbangan, ketersambungan, dan keselesaan.

E&O dijangka akan memperkenalkan dua projek kondominium tepi laut dan fasa baharu projek hartanah mewah pada tahun 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya