KUALA LUMPUR: Eksport kayu menunjukkan perkembangan positif, meningkat sebanyak 8.9 peratus dari Januari hingga Ogos 2024 berbanding dengan tahun sebelumnya, menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pertumbuhan itu mengukuhkan status Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran kayu global, dengan perabot kayu menjadi produk eksport terbesar negara.
“Ekspo Kayu Malaysia (MWE) dijangka menjadi platform utama untuk mempamerkan kraf dan kualiti Malaysia yang telah diiktiraf di seluruh dunia.
“Penganjuran ekspo pada 2025 juga amat sesuai kerana ia akan bertepatan dengan jawatan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, membolehkan MWE memainkan peranan yang lebih menonjol dalam menghubungkan perniagaan berasaskan kayu di ASEAN,” katanya dalam ucapan Majlis Pelancaran MWE 2025 oleh Majlis Kayu Malaysia (MTC) disini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Chan Foong Hin.
Sehingga Oktober 2024, sebanyak 40 Unit Pengurusan Hutan (FMU) yang meliputi kawasan seluas 6.52 juta hektar telah diperakui di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), yang memastikan produk kayu yang diperoleh dari kawasan ini memenuhi piawaian antarabangsa untuk kelestarian.
Jelas Johari, seiring dengan itu, industri kayu Malaysia sedang giat melabur dalam inovasi yang mempromosikan kelestarian, seperti pembangunan rawatan kayu mesra alam teknologi pemprosesan kayu yang cekap dan penerokaan bahan alternatif.
“Usaha-usaha ini bukan sahaja bertindak balas terhadap permintaan global untuk produk lestari, tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai pemimpin dalam penyelesaian bangunan hijau,” katanya.
Tambah Johari, pada masa depan, peranan produk kayu lestari dalam pasaran global akan terus berkembang.
“Menjelang 2025, Malaysia dijangka akan memperluaskan kapasiti pengeluaran kayu lestari, memastikan dapat memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa sambil memelihara sumber hutan yang kaya untuk generasi akan datang.
“Kesimpulannya, industri kayu Malaysia dengan komitmennya yang kukuh terhadap kelestarian dan inovasi, dijangka akan terus menerajui pasaran global.
“MWE 2025 akan menjadi platform yang sesuai untuk mempamerkan usaha kami dalam mempromosikan produk kayu yang mesra alam dan mengukuhkan lagi reputasi Malaysia sebagai pembekal penyelesaian kayu berkualiti tinggi dan lestari,” katanya.
Sementara itu, Foong Hin ketika ditemui berkata, MWE 2025 menyasarkan angka jualan antara RM150 hingga RM200 juta, dengan sasaran pertumbuhan dua digit yang konservatif.
“Sasaran ini ditetapkan selepas prestasi kukuh tahun lalu, yang mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak RM320.78 juta, hasil gabungan dua tahun,” katanya.
MWE 2025 dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 November 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur. – UTUSAN