Ekonomi Malaysia suku ketiga dijangka berkembang 5.3 peratus - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia suku ketiga dijangka berkembang 5.3 peratus

KDNK suku ketiga Malaysia dijangka mendatar pada 5.3 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku ketiga 2024 dijangka menyederhana kepada 5.3 peratus tahun ke tahun, disokong oleh peluasan berterusan di kebanyakan sektor, terutamanya pembuatan dan perkhidmatan, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

Dalam nota penyelidikan, bank pelaburan itu menjangkakan sektor pembuatan akan memperoleh momentum, seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan pengeluaran pembuatan pada suku ketiga 2024, yang tercermin dalam indeks pengeluaran perindustrian (IPI) yang mencatatkan pertumbuhan 5.8 peratus tahun ke tahun. 

“Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh percepatan dalam aktiviti pembuatan yang berorientasikan eksport sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun, disokong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E). 

“Sementara itu, aktiviti pembuatan yang berorientasikan domestik menunjukkan sedikit kelembapan, tetapi kami menjangka pertumbuhan dalam sektor pembinaan akan meningkat, selaras dengan peningkatan nilai kerja pembinaan yang kebanyakannya tertumpu pada kejuruteraan awam,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

Dalam pada itu, dari sudut perbelanjaan, HLIB menjangka penggunaan swasta akan terus menyokong pertumbuhan keseluruhan, disokong oleh pasaran buruh yang sihat dan kenaikan gaji yang lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan serta pembuatan.

“Walau bagaimanapun, ia berkata kadar pengembangan dijangka akan perlahan kerana pengguna mengurangkan perbelanjaan mereka sebagai respons terhadap kos sara hidup yang masih tinggi, yang tercermin melalui pencapaian jualan runcit yang lebih lembap pada suku tahun dengan kadar pertumbuhan 4.1 peratus tahun-ke-tahun,” katanya. 

Menunggu pengumuman penuh KDNK suku ketiga 2024, HLIB mengekalkan jangkaan pertumbuhan KDNK pada 5.0 peratus tahun-ke-tahun untuk 2024 dan 2025.

“Kami menjangka ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih sederhana untuk baki tahun ini berikutan kelemahan luaran seperti pertumbuhan yang lebih perlahan di ekonomi maju, pemulihan pembuatan global yang tidak sekata dan ketegangan geopolitik yang berterusan.

“Walau bagaimanapun, pertumbuhan dijangka dapat dikekalkan oleh perbelanjaan domestik yang kukuh, disokong oleh persekitaran pekerjaan yang stabil dan langkah-langkah sokongan pendapatan seperti Akaun Fleksibel KWSP 3 dan kenaikan gaji kakitangan awam pada bulan Disember,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya