Dividen KWSP 2024 berpotensi lebih 6.0 peratus - Utusan Malaysia

Dividen KWSP 2024 berpotensi lebih 6.0 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mampu melebihi 6.0 peratus tahun ini, berikutan pendapatan pelaburan untuk sembilan bulan 2024 yang melonjak 20 peratus.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya. Dr. Norlin Khalid berkata, kadar dividen enam peratus berkemungkinan boleh dicapai atau sekurang-kurangnya untuk Simpanan Konvensional.

Ujarnya, berdasarkan data sejarah dari 2017 hingga 2023, kadar dividen KWSP untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah menunjukkan prestasi yang konsisten.

“Kadar dividen tertinggi bagi Simpanan Konvensional dicatatkan pada 2017 dengan 6.90 peratus, sementara untuk Simpanan Syariah, kadar tertinggi juga berlaku pada tahun yang sama iaitu 6.40 peratus.

“Dengan sisihan piawai sebanyak 0.56 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 0.55 peratus untuk Simpanan Syariah, KWSP menunjukkan kestabilan dalam pulangan tahunan mereka.

“Jika momentum kenaikan pendapatan pelaburan ini berterusan hingga akhir tahun, kadar dividen enam peratus berpotensi untuk dicapai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tahun lepas, KWSP mengumumkan kadar dividen 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM50. 33 bilion dan 5.40 peratus untuk Simpanan Syariah dengan jumlah agihan RM7. 48 billion.

Ini menjadikan keseluruhan jumlah agihan pendapatan untuk 2023 sebanyak RM57.81 bilion, lebih tinggi berbanding 2022 sebanyak 5.35 untuk Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus bagi Simpanan Syariah.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketidakstabilan pasaran global pada suku keempat masih boleh menjadi faktor penentu sama ada sasaran ini mampu direalisasikan.

“Oleh itu, KWSP perlu terus memantau prestasi pasaran dan menyesuaikan strategi pelaburan untuk mengoptimumkan pulangan kepada pencarum.

“Jika situasi pasaran memihak kepada KWSP, kadar dividen sekitar atau melebihi enam peratus adalah satu sasaran yang boleh dicapai untuk 2024,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, berdasarkan prestasi semasa sehingga suku ketiga 2024, KWSP mampu memberi dividen yang lebih baik dari tahun lepas.

“Begitupun adakah akan mencapai enam peratus atau lebih, ia akan tergantung kepada prestasi pasaran ekuiti domestik dalam suku keempat.

“Daripada jumlah aset bawah pengurusan (AUM) RM1.222 trillion KWSP, sebanyak 62.2 peratus dilaburkan dalam negara, sama ada pasaran, ekuiti atau pun bon-bon terbitan kerajaan.

“Bagi suku ketiga 2024, walaupun pelaburan antarabangsa KWSP jelas kurang daripada pelaburan domestik, tetapi ia menyumbangkan 53 peratus dari keseluruhan keuntungan iaitu RM19.67 bilion,” katanya.

Menurutnya, strategi KWSP iaitu mempelbagaikan pelaburannya telah berjaya memberikan pulangan yang baik untuk 2024.

“Pelbagai faktor global tetap memainkan pengaruh yang penting kepada pasaran kewangan seperti pergolakkan geo politik yang berterusan di Asia Barat, mahupun di Eropah Timur dan Asia Timur serta perubahan pasaran kewangan.

“Ini berikutan tindakan Rizab Persekutuan (Fed) AS dalam mengawal kadar faedahnya, termasuk jangkaan pasaran global keatas dasar2 kepimpinan Donald Trump sebagai presiden AS ke-47.

“Oleh itu, semua ini akan memberikan pengaruh kepada pelaburan KWSP untuk suku keempat tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya