Citaglobal meterai perjanjian fasiliti solar 5.4 MW di Azerbaijan - Utusan Malaysia

Citaglobal meterai perjanjian fasiliti solar 5.4 MW di Azerbaijan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Citaglobal Bhd (Citaglobal) memeterai Perjanjian Rangka Kerja untuk membangunkan fasiliti solar berkapasiti 5.4 megawatt (MW) di Pelabuhan Baku, Azerbaijan.

Menurut kenyataan, projek itu merupakan inisiatif tenaga boleh diperbaharui pertama di Azerbaijan yang menggabungkan tenaga solar dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bersepadu untuk sektor komersial.

“Projek hijau ini akan diterajui oleh Tiza Green Energy LLC, sebuah usaha sama antara Tiza Global Azerbaijan LLC dan Citaglobal Renewable Energy Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Citaglobal.

“Perkongsian strategik ini melambangkan komitmen Azerbaijan terhadap kelestarian dan disokong oleh Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 21 tahun dengan tarif tetap, memberikan kestabilan kos tenaga kepada Pelabuhan Baku dan melindunginya daripada kenaikan harga tenaga grid,” katanya.

Katanya, walaupun kapasiti projek itu sederhana, ia menetapkan penanda aras baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui negara.

“Integrasi sistem solar, BESS, dan grid pengedaran menjadikan projek ini model untuk penyelesaian tenaga mampan.

“Fasa pertama projek melibatkan pemasangan panel solar atas bumbung, diikuti oleh sistem skala besar di atas tanah.

“MYBESS, teknologi inovatif yang dibangunkan oleh Citaglobal, akan diintegrasikan untuk memastikan hampir 100 peratus tenaga solar yang dihasilkan dapat digunakan secara berdaya saing,” katanya.

Selain itu, syarikat itu berkata, pendekatan berfasa itu mengukuhkan komitmen Pelabuhan Baku terhadap tenaga boleh diperbaharui.

“Ini membolehkan penyimpanan tenaga lebihan untuk digunakan ketika permintaan melebihi bekalan solar, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada grid.

“Terletak 70 kilometer (km) dari ibu negara Baku, Pelabuhan Baku meliputi kawasan seluas 400 hektar dan berfungsi sebagai hab logistik utama di Eurasia.

“Ia kini dalam fasa kedua pembangunan, dengan sasaran kapasiti tahunan sebanyak 25 juta tan dan 500,000 unit kontena bersamaan dua puluh kaki (TEU).

Sejak diiktiraf sebagai Pelabuhan Hijau pertama di rantau Kaspia pada 2019, Pelabuhan Baku terus mengutamakan amalan lestari, termasuk kecekapan tenaga, pengurusan sisa, dan perlindungan alam sekitar.

Presiden Tiza Green Energy LLC dan Pengerusi Eksekutif Citaglobal Berhad, Tan Sri Dr. Norza Zakaria berkata, perjanjian iru memacu landskap tenaga boleh diperbaharui Azerbaijan dengan penyelesaian inovatif mengintegrasikan teknologi solar dan BESS, memastikan tenaga bersih digunakan pada tarif yang kompetitif.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelabuhan Baku, Dr. Taleh Ziyadov berkata, kerjasama dengan Tiza Green Energy adalah langkah penting untuk mengurangkan pelepasan Skop 2 dan mencapai sifar pelepasan menjelang 2035.

“Projek ini mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Baku sebagai peneraju amalan lestari, sambil menyokong matlamat Perjanjian Paris dan memajukan inisiatif perubahan iklim global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya