PETALING JAYA: Sime Darby Motors, pengedar rasmi kereta BYD di Malaysia melancarkan BYD Sealion 7, sebuah kenderaan unggul berilhamkan lautan yang diketengahkan sebagai model perdana BYD di Malaysia pada harga bermula RM183,800.
Menurut kenyataannya, kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik ini bakal mentakrifkan semula prestasi, gaya mewah dan ciri serba guna dalam dunia kenderaan elektrik (EV).
Kenderaan yang dalam dua varian itu iaitu Premium BYD Sealion 7 dijual pada harga RM183,800, manakala varian Performance ditawarkan pada harga RM199,800.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao berkata, BYD menumpukan usaha untuk mencipta kenderaan tenaga baharu (NEV) bertaraf dunia yang memenuhi keperluan kumpulan pelanggan yang pelbagai.
Katanya, menerusi rangkaian modelnya yang kini merangkumi kereta kompak, SUV dan kenderaan pelbagai guna (MPV), pihaknya kini teruja untuk memperkenalkan BYD Sealion 7 yang berprestasi tinggi serta menggabungkan kuasa dan gaya sebuah SUV dengan keselesaan dan ciri serba boleh.
“Kami percaya BYD Sealion 7 akan mendapat sokongan padu daripada pasaran Malaysia, dengan menawarkan pilihan paling sesuai bagi pemandu yang menginginkan prestasi mengagumkan tanpa menjejaskan keselesaan.
“Model ini melambangkan komitmen kami kepada kejuruteraan jitu dan reka bentuk mesra alam, menetapkan piawaian baharu bagi segala kelebihan yang mampu dicapai oleh sebuah SUV elektrik,” katanya.
BYD Sealion 7 disediakan dalam empat pilihan warna termasuk hitam Cosmos, putih Aurora, kelabu Atlantis dan kelabu Shark Grey bagi kedua-dua model.
Varian Premium BYD Sealion 7 membawakan gandingan hebat kuasa dan jarak perjalanan, dengan kuasa 230kW dan tork 380 Nm, iaitu gandingan padu ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa hanya 6.7 saat.
“Menawarkan jarak perjalanan elektrik sehingga 567 km dengan sekali cas, pilihan Premium sememangnya sempurna bagi perjalanan di sekitar bandar dan pemanduan jarak jauh, memberikan fleksibiliti kepada pemandu untuk merantau jauh sambil mengurangkan masa untuk berhenti dan mengecas kenderaan.
“Varian Performance pula menjanjikan kuasa yang lebih tinggi. Dengan kuasa 390 kW dan tork 690 Nm yang mengagumkan, kenderaan ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat.
“Sama ada menjelajah lebuh raya atau menyusur jalan bandar, model ini memberikan prestasi hebat sambil mengekalkan jarak perjalanan elektrik luar biasa sejauh 542 km,” jelasnya. – UTUSAN