BNM tidak merancang keluarkan mata wang digital bank pusat borong dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

BNM tidak merancang keluarkan mata wang digital bank pusat borong dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak merancang untuk mengeluarkan mata wang digital bank pusat borong (CBDC) dalam masa terdekat, tetapi sedang meneroka potensinya dan menjalankan kerja persediaan untuk memahami implikasinya.

CBDC adalah bentuk wang digital yang ditaksir dalam unit akaun negara dan merupakan liabiliti langsung bagi bank pusat.

Bank pusat berkata, dalam usaha untuk memajukan infrastruktur digital utama, CBDC adalah salah satu inovasi yang sedang diterokai, dengan menyatakan potensinya untuk manambah baik pembayaran rentas sempadan, meningkatkan kecekapan sistem pembayaran dan memajukan penyertaan kewangan.

BNM juga mencatatkan bahawa ruang aset digital telah berkembang dari semasa ke semasa, dengan penekanan yang semakin meningkat pada penerokaan bagaimana teknologi asasnya, iaitu blockchain atau teknologi lejar teragih (DLT), dapat memperkasa infrastuktur pasaran kewangan.

“Kami sebenarnya melihat 94 peratus daripada bank pusat yang terlibat dalam penerokaan berkaitan CBDC.

“Pada masa yang sama, kami juga melihat pengawal semua memperkenalkan standard yang lebih jelas bagi transaksi aset digital,” kata BNM dalam Bengkel Media Pembayaran Digital di Sasana Kijang hari ini.

BNM menyatakan bahawa kerja penyelidikan dan penerokaan mengenai CBDC telah bermula pada 2017 dan masih diteruskan sehingga kini untuk menangani cabaran sektor kewangan sedia ada dan mencapai objektif dasar awam.

BNM juga berkata bahawa ia sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk memelihara integriti dan kestabilan sistem kewangan domestik di tengah-tengah perkembangan dalam ruang aset digital.

“Penerokaan kami kini tertumpu terutamanya pada CBDC borong untuk kedua-dua ruang rentas sempadan dan domestik.

“Untuk melengkapkan kerja penerokaan domestik, kami juga bekerjasama dengan bank pusat lain melalui projek yang dianjurkan oleh BIS Innovation Hub,” katanya.

Walaupun terdapat pelbagai representasi digital berasaskan DLT untuk nilai, BNM berkata bahawa deposit tokenisasi dan CBDC mempunyai potensi yang lebih besar sebagai instrumen pembayaran pada masa hadapan.

“Dari sudut pandang regulasi, CBDC dan deposit tokenisasi menyediakan cadangan yang paling kuat untuk memudahkan pembayaran.

“Ini berbanding dengan aset kripto di mana nilainya tertakluk kepada lebih banyak ketidaktentuan dan juga terdedah kepada dinamik dari segi bekalan dan permintaan pasaran.

“Oleh itu, pandangan umum adalah bahawa dari perspektif pembayaran, aset kripto mungkin bukan sesuatu yang diterima dalam ruang pembayaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya