BMI naikkan unjuran KDNK 2025 pada 4.7 peratus - Utusan Malaysia

BMI naikkan unjuran KDNK 2025 pada 4.7 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, meningkatkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 kepada 4.7 peratus daripada 4.6 peratus sebelumnya.

Prospek yang dikemas kini itu berada dalam julat jangkaan oleh kerajaan iaitu pada 4.0 hingga 5.0 peratus.

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan suku ketiga 2024 Malaysia meningkat lebih pantas daripada jangkaan, mendorong kami untuk menyemak semula unjuran 2024 kepada 5.0 peratus, berbanding 4.7 peratus sebelum itu.

“KDNK benar Malaysia berkembang pada 1.8 peratus suku ke suku pada suku ketiga, berbanding 2.9 peratus pada suku kedua, dan ini bersamaan dengan pertumbuhan 5.3 peratus tahun ke tahun.

“Pelaburan tetap meningkat kepada 15.3 peratus tahun ke tahun bagi suku ketiga berbanding 11.5 peratus pada suku kedua, bagaimanapun, penggunaan swasta turun kepada 4.8 peratus berbanding 6.0 peratus pada tempoh sebelum itu,” katanya dalam nota kajian.

Sementara itu, BMI berkata, unjuran luaran juga menunjukkan peningkatan dengan pertumbuhan eksport naik kepada 11.8 peratus pada suku ketiga berbanding 8.4 peratus pada suku kedua.

“Seperti yang kami jangkakan, prospek landskap pelaburan domestik kekal berdaya tahan, dengan pembentukan modal tetap kasar menyumbang 2.9 peratus mata kepada angka keseluruhan.

“Jabatan Perangkaan menunjukkan jumlah nilai aktiviti pembinaan yang telah siap naik suku ketiga berturut-turut kepada 22.9 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga, daripada 20.2 peratus pada suku kedua,” katanya.

Sementara itu, CIMB Securities pula mengunjurkan pertumbuhan KDNK dijangka kekal stabil pada 5.0 peratus pada 2025 selaras dengan sasaran kerajaan dalam julat 4.5 hingga 5.5 peratus.

Firma penyelidikan itu berkata, angka itu mencerminkan pemulihan berterusan dalam permintaan luaran yang didorong oleh kitaran teknologi global, di samping perbelanjaan domestik yang kukuh disokong oleh aktiviti pelaburan yang teguh dan permintaan pengguna yang tahan lasak.

“Walau bagaimanapun, risiko menurun masih wujud, terutamanya yang berpunca daripada ketegangan geopolitik yang dijangka dan ketidakpastian dasar selepas pilihan raya Amerika Syarikat (AS).

“Cabaran-cabaran ini mungkin mengganggu aliran perdagangan global dan meningkatkan tekanan inflasi global,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan prestasi ekonomi suku ketiga 2024 pada kadar 5.3 peratus tahun ke tahun, sama seperti anggaran awal dan selaras dengan jangkaan pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya