PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menerima Anugerah Kecemerlangan Perbankan Islam Dunia yang diperkenal buat kali pertama di acara berprestij, Forum Kepimpinan Muslim Dunia (WMLF) 2024 di London, United Kingdom (UK).
Anugerah ini disampaikan kepada Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Tajuddin Atan dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin di House of Lords di Palace of Westminster oleh Menteri bagi Orang Kurang Upaya, Kesihatan dan Pekerjaan UK, Sir Stephen Timms.
Tajuddin berkata, pengiktirafan ini melambangkan dedikasi pasukan dan komitmen bank dalam menyediakan penyelesaian perbankan yang inovatif dan beretika.
“Selari dengan visi kami untuk menjadi ‘the Strongest Islamic Bank’ di Malaysia, kami memperkasa individu, menyokong perniagaan dan memajukan pembangunan mampan di Malaysia dan di peringkat antarabangsa melalui perbankan patuh syariah.
“Anugerah ini juga membuktikan komitmen kami terhadap pemerkasaan komuniti. Kami berbesar hati untuk menjadi peneraju prinsip perbankan beretika yang membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Anugerah tersebut yang diperkenalkan oleh WMLF pada tahun ini adalah bagi menghargai pencapaian cemerlang dalam perbankan beretika, kepimpinan dan kelestarian.
Bank Muamalat diiktiraf atas sumbangan unggulnya kepada masyarakat dan kepimpinan perniagaan, memajukan inisiatif kewangan sosial, sekali gus menjadi penanda aras kecemerlangan dalam perbankan Islam.
Jawatankuasa pemilihan WMLF memberikan pengiktirafan tersebut kepada Bank Muamalat atas kecemerlangannya dalam perniagaan, kepimpinan dalam kewangan sosial dan komitmennya terhadap pembangunan ekonomi melalui perbankan patuh syariah yang inklusif.
WMLF, yang telah dianjurkan selama lebih satu dekad oleh School of Oriental and African Studies (SOAS) Universiti London, menyediakan platform untuk perbincangan mengenai peranan kepimpinan Muslim dalam menangani cabaran global moden.
Forum ini mengumpulkan pemimpin pemikiran, pembuat dasar dan pakar industri untuk meneroka peluang inovasi, kerjasama dan perubahan positif dalam masyarakat, merapatkan dunia masyarakat Islam dengan barat. – UTUSAN