PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) melancarkan Skim Jaminan-i Portfolio Halal yang pertama, dengan dana RM70 juta bagi menyediakan jaringan keselamatan kewangan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.
Inisiatif tersebut direka untuk mempromosikan penyelesaian pembiayaan patuh syariah dan merangsang pertumbuhan ekonomi dalam industri halal.
Skim Jaminan-i Portfolio Halal akan menawarkan jaminan untuk kemudahan pembiayaan yang diberikan kepada PKS yang terlibat dalam perniagaan berkaitan halal, memastikan mereka mempunyai akses kepada dana yang diperlukan sambil mematuhi prinsip Islam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pengenalan skim ini mencerminkan komitmen mereka untuk memperkasakan perniagaan kecil dan mikro di Malaysia.
Katanya, sebagai menyahut seruan kerajaan dan Bank Negara Malaysia untuk menyokong PKS yang mewakili hampir 97 peratus daripada semua pertubuhan perniagaan di Malaysia, Bank Muamalat telah menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi melalui pelbagai inisiatif.
“Ini termasuk penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan dan perkongsian dengan pemain industri utama untuk menyediakan PKS dengan sumber dan sokongan yang mereka perlukan untuk berkembang maju dalam pasaran yang kompetitif.
“Dengan bekerjasama dengan CGC, kami menyasarkan untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan dan memberi peluang kepada perniagaan untuk berkembang sambil mematuhi prinsip kewangan Islam.
“Program ini adalah sebahagian daripada strategi kami yang lebih meluas untuk menyokong ekonomi negara dan menyumbang kepada pembangunan perniagaan yang mampan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah kenyataan itu, perkongsian ini mencerminkan komitmen untuk menyokong pertumbuhan ekonomi halal yang semakin diiktiraf sebagai sektor penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
Jelasnya, skim ini direka secara strategik untuk menawarkan pembiayaan yang boleh diakses dan berpatutan kepada perniagaan dalam pelbagai sektor.
“Program itu akan memudahkan perniagaan mengakses modal yang sangat diperlukan untuk modal kerja dan perbelanjaan modal, termasuk pensijilan halal dan pemerolehan aset.
“Skim yang dilancarkan hari ini terbuka kepada pelbagai industri, termasuk pembuatan, peruncitan, perkhidmatan dan sektor berkaitan halal,” ujarnya.
Katanya, terma pembiayaan direka bentuk supaya fleksibel dengan tempoh maksimum sehingga tujuh tahun untuk PKS dan tiga tahun untuk PKS mikro. – UTUSAN