Bank Islam lancar platform perbankan digital baharu - Utusan Malaysia

Bank Islam lancar platform perbankan digital baharu

MOHAMED Iran Moriff Mohd Shariff bersama Ketua Saluran Maya Bank Islam, Nur Fathmawati Zakaria menunjukkan aplikasi perbankan mudah alih BIMB MOBILE di majlis pelancaran platform perbankan digital teknologi terkini di Menara Bank Islam. / M.FIRDAUS M.JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperkenalkan platform perbankan digital berteknologi terkini, aplikasi perbankan mudah alih BIMB Mobile (BIMB Mobile) dan BIMB Web (web.bimb.com).

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff berkata, platform perbankan digital baharu ini direka untuk memenuhi skala penggunaan yang lebih besar dengan keupayaan yang diperluas dan lebih stabil berbanding perkhidmatan sebelumnya.

“Maklum balas pelanggan mendorong kami mereka bentuk platform dengan antara muka moden dan ciri canggih, memberikan pengalaman pengguna yang dipertingkatkan sesuai dengan gaya hidup digital masa kini untuk semua tahap kemahiran teknologi.

“Ciri baharu ini turut menyerlahkan konsep perbankan tanpa cawangan dengan menyediakan kemudahan maksimum kepada pelanggan kami.

“Kedua-dua platform baharu itu memberi keupayaan kepada Bank Islam untuk mampu mengembangkan ciri-ciri baharu seperti meningkatkan kapasiti atau pengenalan fungsi baharu bagi memenuhi pertumbuhan trafik dan keperluan pasaran pada masa hadapan,” katanya dalam ucaptama Majlis Pelancaran Aplikasi Perbankan Mudah Alih BIMB Mobile dan BIMB Web, semalam.

Platform GO by Bank Islam dan Perbankan Internet Bank Islam (IB) yang lama akan terus beroperasi bagi memastikan perkhidmatan pelanggan tidak terganggu sepanjang proses peralihan ke platform baharu.

Bagaimanapun, platform GO dan IB dijadual akan ditamatkan operasi sepenuhnya menjelang November 2025.

Menerangkan mengenai pembaharuan aplikasi, katanya, platform itu direka semula dengan Channel Foundation untuk memendekkan masa pemprosesan dan melancarkan transaksi.

“BIMB Web dan BIMB Mobile berfungsi secara bebas, memastikan perkhidmatan stabil walaupun semasa penyelenggaraan.

“BIMB Mobile juga menawarkan ciri tambahan seperti menyembunyikan baki, menyesuaikan nama akaun dan menyusun semula akaun mengikut keutamaan.

“Selain itu, reka bentuk moden dan mesra pengguna menjadikan navigasi lebih mudah, seperti pemindahan dana yang lebih cepat. Ia juga terdapat ciri keselamatan baharu melindungi pelanggan daripada ancaman perisian hasad, dengan gesaan untuk kekal berwaspada.

“Kami juga menerapkan integrasi kemudahan zakat, sedekah, Tabung Haji, serta menambah sentuhan bermakna seperti waktu solat,” katanya.

Jelasnya, bank itu optimis pelanggan akan teruja untuk beralih ke platform baharu itu, serta menyambut baik sebarang maklum balas bagi terus memperhalusi serta mengukuhkan pengalaman perbankan pelanggan.

“Aplikasi perbankan mudah alih terdahulu, GO by Bank Islam (GO) telah memanfaatkan lebih 1.9 juta pelanggan aktif sejak kira-kira lima tahun lalu.

“Sehingga Oktober 2024, Bank Islam telah mencatatkan sejumlah 5.9 bilion transaksi dalam talian, termasuk 3.5 bilion daripadanya disempurnakan melalui platform Perbankan Internet Bank Islam (IB, www.bankislam.biz).

“Pelanggan baharu atau pengguna sedia ada GO by Bank Islam kini boleh memuat turun aplikasi baharu ini melalui Apple AppStore, Google PlayStore, atau Huawei AppGallery untuk merasai pengalaman perbankan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya