PETALING JAYA: AMMB Holdings Berhad (AmBank) meraih keuntungan bersih bernilai RM1 bilion dalam separuh pertama tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 30 September 2024, meningkat 18 peratus berbanding RM848.15 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Hasil dalam tempoh dikaji bernilai RM2.41 bilion berbanding RM2.33 bilion jumlah pendapatan pada separuh pertama 2024.
Bagi suku kedua berakhir 30 September 2024, AMMB melaporkan untung bersih sebanyak RM500.57 juta, meningkat berbanding RM469.78 juta yang direkodkan pada suku kedua 2023, manakala hasil meningkat daripada RM1.12 bilion kepada RM1.23 bilion pada suku dikaji.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 10.3 sen sesaham, dengan tarikh akhir 12 Disember 2024 dan perlu dibayar pada 30 Disember 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, pihaknya optimis terhadap prospeknya pada tahun kewangan 2025 kerana kini ia telah mencapai tahap separuh jalan dengan prestasi yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
“Kami gembira dengan kemajuan kami pada separuh masa pertama ini. Pengembangan margin faedah bersih (NIM) selanjutnya mendorong pendapatan faedah bersih lebih tinggi dan kami menanggung caj rosot nilai bersih yang jauh lebih rendah untuk tempoh tersebut.
“Pertumbuhan pinjaman dalam segmen fokus kami adalah kukuh dan pulangan keseluruhan kami pada ekuiti melebihi 10 peratus. Kedudukan modal telah bertambah kukuh dengan peningkatan keuntungan sebanyak RM1.0 bilion.
“Kami berbesar hati untuk mengisytiharkan kenaikan 71.7 peratus dalam dividen interim untuk separuh pertama 2025,” katanya dalam kenyataan.
Pendapatan faedah bersih (NII) kumpulan meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun kepada RM1.76 bilion berikutan pengembangan NIM 14 mata asas kepada 1.93 peratus dan pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan.
Pendapatan bukan faedah adalah 3.9 peratus lebih rendah tahun ke tahun kepada RM644.9 juta, disebabkan oleh keuntungan pelupusan AmGen sebanyak RM51.1 juta dan keuntungan dagangan yang lebih rendah daripada perbendaharaan kumpulan dan pasaran.
Perbelanjaan keseluruhan meningkat 5.0 peratus tahun ke tahun kepada RM1.05 bilion manakala kos kepada pendapatan meningkat sedikit kepada 43.6 peratus daripada 43 peratus.
Sementara itu, jumlah pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan kekal mendatar setakat tahun ini pada RM134.5 bilion dan jumlah deposit pelanggan turun 4.3 peratus tahun ke hari kepada RM136.3 bilion apabila kumpulan itu menguruskan kos dananya.
Deposit masa kekal tidak berubah pada RM90.2bil manakala akaun simpanan akaun semasa (Casa) susut 12.7 peratus setakat tahun ini kepada RM46.1 bilion dan campuran Casa merosot kepada 33.8 peratus daripada 37.1 peratus pada tahun kewangan 2024.
Segmen perbankan runcit kumpulan mencatatkan untung bersih sebanyak RM193.5 juta pada separuh pertama 2025, meningkat sebanyak RM55.1 juta atau 39.8 peratus tahun ke tahun didorong kemerosotan bersih lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan yang lebih rendah dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.
Selain itu, segmen perbankan perniagaan meraih untung RM296.1 juta dalam tempoh separuh pertama 2025, meningkat 55.8 peratus tahun ke tahun terutamanya disebabkan oleh pendapatan yang lebih tinggi, perbelanjaan operasi lebih rendah dan kemerosotan nilai bersih yang lebih rendah.
Keuntungan bersih perbankan borong kumpulan pula meningkat 0.8 peratus tahun ke tahun kepada RM423.9 juta terutamanya disebabkan oleh pendapatan yang lebih tinggi dan hapus kira kemerosotan bersih lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi yang lebih tinggi. – UTUSAN